Polis siasat Nazri Aziz berhubung ucapan 'perkauman'


Mohd Farhan Darwis

Setiausaha Agung BN, Mohamed Nazri Aziz mengesahkan beliau dipanggil pihak polis awal hari ini bagi merakamkan kenyataan berhubung ucapannya yang antara lain menyentuh tentang pelantikan bukan Melayu untuk jawatan kanan pada sidang media di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Februari, 2019.

POLIS hari ini mengambil keterangan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Mohamed Nazri Aziz berhubung ucapan beliau yang didakwa berbaur perkauman semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih hujung minggu lalu.

Nazri mengesahkan beliau dipanggil pihak polis awal hari ini bagi merakamkan kenyataan, bersabit ucapannya yang antara lain menyentuh tentang pelantikan bukan Melayu untuk jawatan kanan termasuk ketua hakim negara, peguam negara dan menteri kewangan.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu merakamkan penghargaan kepada pihak polis atas tindakan berkenaan, namun menegaskan apa yang beliau sebut adalah berdasarkan fakta yang berlaku di peringkat akar umbi rakyat.

“Saya dipanggil polis pagi tadi dan saya rakamkan kenyataan. Saya hanya menyatakan apa perasaan orang Melayu di akar umbi.

“Kalau peguam negara (AG) bukan Bumiputera atau Melayu, mereka khuatir akan berlaku berat sebelah, dan itu berlaku. Kes Adib itu fakta,” katanya, merujuk siasatan pihak berkuasa terhadap kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim selepas cedera semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, akhir November lalu.

“Empat individu didakwa tapi bila Adib meninggal dunia, ditarik balik dan sehingga hari ini kita tak tahu (status),” kata Nazri pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Perkara itu katanya menimbulkan rasa tidak senang masyarakat Melayu, dan beliau tidak mencetuskan sesuatu yang bersifat hasutan.

“Ini menimbulkan rasa tidak senang kepada orang Melayu, saya katakan sesuatu yang berlaku di peringkat bawahan dan ia bukan hasutan,” kata Nazri lagi.

Pada sidang medianya, Nazri turut menafikan mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman ketika berucap dalam kempen PRK Semenyih.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mahu tutup sekolah Cina dan India. Kalau saya nak buat begitu, waktu dalam kerajaan sudah diusahakan, semasa saya menjadi menteri. 

“Semasa buat ucapan, saya sedar ada video rakam dan sebagai peguam serta bekas menteri, saya sentiasa sedar apa yang saya katakan itu tidak boleh menampakkan perkauman, rasis, melainkan hanya bercakap tentang fakta.

“Takkan lah saya bercakap benda yang rasis walhal saya tahu video di depan saya,” kata Nazri.

Tambahnya, sepanjang berkecimpung dalam arena politik sejak 40 tahun lalu, beliau tidak pernah mahu menutup mana-mana sekolah vernakular di negara ini.

Beliau turut mengesahkan tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didakwanya memutar belit ucapan itu.

Nazri turut enggan melayan kenyataan pemimpin MCA yang berkata ucapannya itu membantu kempen Pakatan Harapan (PH) pada PRK Semenyih.

“Saya tahu bila kita kempen sebagai BN, mereka kena bersama. Apa yang MCA kata, saya tak peduli dan tak kisah. 

“Siapa mereka? Saya tak kenal mereka. Saya tak faham apa yang mereka nak,” katanya lagi. – 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • ICERD is not even ratified since Tun informed the UN we would do so, so why is Polis even investigating Nazri for sedition?

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan