MUHAMMAD Adib Mohd Kassim “menggeleng kepala” apabila ditanya apakah beliau dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya sehingga menyebabkan cedera dan dimasukkan ke hospital, kata seorang pakar bedah yang merawat anggota bomba itu.
Pakar bedah kardiotorasik di Institut Jantung Negara (IJN) Dr Mohamad Ezani Taib berkata Adib ditanya soalan itu dua kali ketika beliau sedar semasa dirawat di pusat jantung itu, termasuk sekali oleh seorang pegawai penyiasat.
Dua kali itu juga Adib “menggeleng kepala”, kata doktor.
“Soalan itu ditanya dua kali, sekali ketika saya bersamanya sendirian dan sekali lagi semasa bersama seorang pegawai penyiasat polis,” kata Ezani, dalam keterangannya kepada inkues menentukan kematian Adib hari ini.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni, Ezani memberitahu Koroner Rofiah Mohamad Mansor beliau berada di dalam bilik rawatan Adib semasa pegawai polis itu datang bertanyakan beberapa soalan kepada anggota bomba itu.
“Pegawai itu bertanya Adib, di depan saya, apakah beliau dipukul tetapi Adib yang sedar tidak dapat bercakap dan hanya geleng kepala.
“Pada satu masa yang lain, saya bertanya sendiri kepadaya dan beliau memberikan respons sama, yang saya anggap sebagai ‘tidak’,” katanya.
“Saya berhenti di situ dan tidak tanya soalan lanjut.”
Bagaimanapun, beliau memberitahu mahkamah koroner yang seorang pembantu perubatan bernama Ashraf mendakwa Adib yang berusia 24 tahun itu mengangguk setuju ketika ditanya sama ada beliau dipukul.
“Pada 25 Disember, lapan hari selepas kematian Adib, seorang pembantu perubatan yang dikenali sebagai Ashraf berjumpa saya. Beliau memberitahu anggota bomba itu mengangguk kepala apabila pembantu bertanya kepadanya sama ada dipukul.”
Ezani kemudian menasihati pembantu perubatan itu mendapatkan nasihat undang-undang.
Pembantu perubatan dimaksudkan itu akan disoal oleh mahkamah Koroner pada sesi akan datang.

Ezani, yang merupakan saksi ke-14 dalam inkues itu, sebelum ini memberitahu mahkamah yang Adib berada dalam keadaan stabil pada ketika itu sebelum keadaannya merosot sehingga menyebabkan kematiannya pada 17 Disember.
Minggu lepas, doktor S. Anand, 46 tahun, seorang pakar bedah kardiotoraks di sebuah hospital swasta memberitahu mahkamah yang kecederaan Adib tidak konsisten dengan kes serangan biasa.
Beliau menyimpulkan bahawa dari pemeriksaan x-ray bahawa pertahanan diri tidak terlibat dalam kes ini.
“Ia kecederaan terpencil. Bukti kecederaan pertahanan diri tidak jelas dalam kes ini,” katanya kepada koroner Rofiah Mohamad Mansor.
Adib mengalami patah tulang rusuk kanan dan kecederaan pada paru-paru ketika dibawa ke hospiyal.
Anand berkata, terdapat pelbagai mekanisme termasuk serangan yang boleh membawa kepada trauma dada yang tumpul seperti menghancurkan tulang rusuk, jatuh dari ketinggian, pecutan pesat, nyahpecutan dan serangan.
“Kebanyakan kecederaan Adib tertumpu pada bahagian dadanya dan ia tidak konsisten dengan serangan.
“Tidak mustahil tetapi jelas bahawa pertahanan diri tidak terlibat dalam kes ini,” katanya.
Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.
Inkues itu diarahkan dibuat kerana tiada penemuan konklusif dalam siasatan mengenai bagaimana Adib cedera semasa rusuhan di kuil hindu di Subang Jaya pada 27 dan 28 November tahun lepas.
Siasatan polis mendedahkan mungkin terdapat dua kemungkinan yang mengakibatkan kematian Adib: sama ada beliau dipukul oleh orang ramai atau dilanggar oleh kenderaan bomba. – 25 Februari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Roger 5201 · Ulasan