Polis tahan penganggur letak berhala di surau


Alfian Z.M. Tahir

ACP Shamsul Amar Ramli menunjukkan patung dewa yang didakwa dicuri oleh suspek dan diletakkan di sebuah surau di Taman Pendamar Indah, Port Klang minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Februari, 2019.

POLIS menahan seorang suspek berusia 37 tahun kerana didakwa mengakui mencuri patung berhala dan meletakkannya di pintu masuk sebuah surau di Klang minggu lalu.

Suspek itu mengakui kepada polis bahawa dia mencuri berhala itu dan meletakkan di surau berkenaan selepas sering bermimpi di mana dia mendakwa melihat Kaabah dikelilingi oleh patung-patung dewa.

Lelaki yang menganggur itu ditahan semalam kira-kira 6.15 petang oleh anggota polis Klang Selatan di rumahnya, 200m dari surau itu, kata polis.

Dalam dua insiden berasingan minggu lalu, ahli jawatankuasa masjid menemui beberapa patung berhala diletakkan di pintu masuk Surau Sabilul Huda di Taman Pendamar Indah, Port Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata suspek itu bertanggungjawab atas kedua-dua insiden di surau itu.

“Suspek positif methamphetamine. Dia juga belajar agama dari negara jiran,” kata Shamsul kepada wartawan hari ini.

“Dia beritahu polis dalam tidur, dia boleh nampak berhala ini diletakkan di sekeliling Kaabah dan sebab itu dia buat benda yang sama di surau itu,” katanya, menambah suspek itu percaya tindakannya itu akan dapat mengajak bukan Islam melakukan upacara agama mereka di surau itu.

Katanya, patung berhala itu dicuri dari kuil berhampiran sementara dua lagi diambil dari tong sampah.

“Suspek mungkin tidak begitu stabil mentalnya. Dia ada dua rekod jenayah lampau dan kami sedang menyiasat perkara ini,” katanya, menambah kes itu tidak ada kena mengena dengan hasutan agama.

“Ini bukan insiden agama atau kaum. Tidak ada kumpulan terbabit yang menyebabkan kekacauan di negara ini.”

Suspek itu disiasat di bawah Seksyen 295 kerana mencemari tempat ibadat dengan niat menghina agama dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yasssin berkata kerajaan akan bertindak terhadap mereka yang menghina agama dan menyebabkan kekacauan. – 25 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen