DUA lagi patung berhala ditemui di atas pagar pintu masuk Surau Sabilul Huda Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang semalam empat hari selepas kejadian sama yang masih disiasat pihak berkuasa.
Kejadian semalam disedari seorang ahli kariah pada 2.45 petang ketika hadir ke surau untuk kuliah agama.
Menurut sumber, dua patung bersaiz kecil (4 inci x 3 inci) dipercayai patung hiasan kereta dan dalam keadaan berhabuk ditemui oleh seorang wanita berusia 64 tahun.
Polis menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan sedang mengesan suspek. Laporan sebelum ini menyebut surau berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).
“Siasatan menyeluruh merangkumi pelbagai aspek. Kita juga tidak tolak kemungkinan perbuatan ini dilakukan oleh orang kurang siuman,” katanya.
Dalam pada itu siak surau Mohd Yatim Omar, 64, berkata, dia bimbang dengan penemuan itu dan berharap pihak berkuasa menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.
Malah beliau juga berharap surau berkenaan dipasang kamera litar tertutup (CCTV) segera agar kejadian sama tidak berulang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menasihati orang ramai supaya tidak bertindak sendirian.
Katanya, tindakan begitu boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum dan mahu orang ramai menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.
Dalam kejadian Rabu lalu, siak surau menemui sebuah patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama surau yang sama dipercayai antara waktu selepas Zohor dan menjelang Asar ketika surau itu kosong.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan patung berhala di surau berkenaan.
Beliau berkata, tindakan itu jelas berniat jahat untuk menghina agama Islam dan menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.
“Pihak polis sudah menerima beberapa laporan mengenai perkara ini dan saya mengarahkan ketua polis negara untuk menyiasat kes ini secara terperinci.
“Tindakan tegas berasaskan undang-undang hendaklah diambil ke atas pihak yang melakukan perbuatan terkutuk yang berbaur hasutan dan amat provokatif ini,” katanya.
Beliau menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat. – 21 Februari, 2019
Komen