SEORANG lagi menteri kabinet menggesa polis segera mengambil tindakan tegas berhubung insiden patung berhala diletakkan di sebuah surau di Klang, dua kali dalam masa seminggu sekali gus menghentikan segala usaha mencetuskan ketegangan kaum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof mengulangi kebimbangannya jika insiden itu tidak ditangani dengan tegas, ia boleh menimbulkan provokasi.
“Polis kena ambil tindakan segera sebab jika dibiarkan akan menimbulkan provokasi.
“Kita tidak mahu melihat negara kita ini dicemari dengan tindakan-tindakan sebegitu rupa,” katanya kepada media selepas menghadiri Jamuan Muhibbah Tahun Baharu Cina di Subang Jaya, hari ini.
“Siapa yang bersalah minta segera ditangkap agar menunjukkan kesungguhan kita untuk menjaga tempat-tempat ibadah khususnya di dalam masjid atau pun surau,” tambahnya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin menggesa Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun memastikan siasatan terperinci polis terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan patung berhala “Datuk Gong” di Surau Sabilul Huda, Klang, pada Rabu lalu.
Muhyiddin menyelar perbuatan itu sebagai berniat jahat untuk menghina Islam dan menjejaskan keharmonian kaum dan agama.
“Mereka yang melakukan perbuatan keji ini perlu ditahan mengikut proses undang-undang, didakwa di mahkamah dan dihukum jika disabitkan kesalahan,” kata Muhyiddin.
Kejadian sama bagaimanapun berulang semalam apabila dua patung berhala ditemui di atas tembok pintu masuk surau yang sama, disedari seorang wanita yang hadir ke surau untuk kelas agama. – 24 Februari, 2019
Komen