MENTERI Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menafikan keputusan kerajaan untuk mengumumkan perkara berkaitan kutipan tol lebuh raya dalam masa terdekat adalah bagi meraih sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.
Katanya, ini kerana, pengumuman berkaitan kutipan tol lebuh raya tidak hanya tertumpu kepada kawasan Semenyih sahaja.
“Saya rasa tidak (raih sokongan). Ia melibatkan kawasan lain (tapi) tunggu dulu pengumuman. Saya rasa ia lebih luas daripada kawasan Semenyih,” katanya kepada media selepas program Ceramah Perdana Pakatan Harapan di Semenyih malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Muhyiddin, dalam satu program di Semenyih berkata, kerajaan akan membuat pengumuman penting berkaitan kutipan tol dalam masa terdekat namun tidak mendedahan butiran lanjut.
Bagaimanapun pendedahan Muhyiddin mengenai pengumuman kutipan tol mengundang reaksi berbeza oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Lim yang enggan mengulas lanjut meminta spekulasi tersebut dihentikan dan hanya menunggu pengumuman dibuat.
Jelas Lim kerajaan tidak berniat untuk mencuci tangan berhubung isu pemansuhan tol yang menjadi sebahagian daripada manifesto PH.
Sebelum ini, Ketua Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim mencadangkan kerajaan PH untuk menutup satu tol dan kurangkan harga minyak jika mahu mempertahankan kerusi DUN Semenyih.
Sementara itu, Gobind berkata usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu kutipan tol dengan cepat biarpun diberi mandat selama lima tahun dapat membantu meringankan beban rakyat.
“Isu tol saya (lama) perjuangkan. ia menjadi isu besar dan memberi kesan kepada rakyat.
“Banyak kali saya nyatakan bahawa usaha untuk kurangkan tol kalau boleh (kita) mansuhkan tapi permulaannya kita sukar.Saya sebagai ahli Parlimen banyak membawa isu dan di Kabinet banyak kali dibincangkan .Saya harap ada keputusan dibuat dalam masa terdekat ini.” – 23 Februari, 2019.
Komen