HAKIM akan tetap bersara pada usia 66 tahun kerana Putrajaya tidak akan melanjutkan usia persaraan kepada 70 tahun seperti dimohon oleh hakim-hakim kanan.
Menteri undang-undang Liew Vui Keong memberitahu The Malaysian Insight bahawa kerajaan tidak ada rancangan membentangkan rang undang-undang bagi menaikkan usia persaraan hakim dari 66 kepada 70 tahun.
“Tiada agenda untuk itu,” katanya.
“Bila hakim cecah usia 60, perlembagaan kita membenarkan lanjutan enam bulan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri,” katanya.
Terdahulu, sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa hakim berharap mendapatkan sokongan Liew untuk cadangan itu.
Ia susulan sistem kehakiman dikecam teruk selepas Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dalam satu afidavit minggu lalu mendakwa hakim kanan melakukan salah laku, menetapkan kes dan menipu kerajaan.
Dalam afidavitnya, Hamid berkata hakim kanan juga berbincang dengan kerajaan terdahulu tentang kemungkinan melanjutkan usia persaraan hakim dari 66 kepada 70 tahun.
Katanya, perbicaraan itu melanggar konsep pengasingan kuasa yang bermula ketika Najib Razak menjadi perdana menteri.
Afidavit itu dibuat sebagai sokongan kepada permohonan peguam Sangeet Kaur Deo yang memohon deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara Richard Malanjum gagal melaksanakan tugasnya untuk melengkapkan siasatan terhadap dua kes campur tangan kehakiman.
Semalam, Putrajaya mengumumkan ia akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tuduhan Hamid.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan menubuhkan RCI untuk menyiasat dakwaan salah laku kehakiman, namun belum memutuskan sejauh mana siasatan akan dibuat.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Latheefa Koya berkata afidavit Hamid dan usia persaraan hakim perlu dipertimbangkan secara berasingan dan tidak boleh dibayangi oleh skandal itu.
“Pertama, menaikkan usia persaraan hakim satu isu penting yang perlu dipertimbangkan secara tersendiri. Ia tidak boleh dikaitkan dengan kontroversi semasa berhubung salah laku hakim tertentu.
“Ia juga tidak boleh dikaitkan dengan syarat perkhidmatan hakim kanan yang akan bersara,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Latheefa berkata hakim di United Kingdom bersara pada usia 70, maka keputusan menaikkan umur persaraan itu bukan kali pertama dilakukan, tetapi beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan perkara itu secara teliti dan mengkajinya terlebih dulu sebelum membuat keputusan.
Hamid berkata beliau dimaklumkan bahawa Kabinet lama menyokong cadangan untuk melanjutkan usia persaraan hakim, tetapi tidak dapat memperoleh sokongan dua pertiga di Parlimen bagi meminda perlembagaan.
Melihat kepada latar belakang semasa berhubung tuduhan terhadap sistem kehakiman, sebarang langkah diambil oleh kerajaan Dr Mahathir Mohamad untuk mencadangkan lanjutan usia persaraan hakim, nampaknya mungkin tidak berjaya.
Sepanjang beberapa bulan lalu, penyokong cadangan usia persaraan hakim dilanjutkan berkata mereka yang berada di kedudukan kanan memerlukan lebih masa untuk merancang perubahan kehakiman.
Jika perkhidmatan mereka tidak dilanjutkan, Malanjum dijadualkan bersara pada April sementara Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop akan tamat perkhidmatan pada Mei. – 22 Februari, 2019.
Komen