Putrajaya akan tubuh RCI siasat salah laku kehakiman, kata Dr Mahathir


Noel Achariam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan rasuah dalam sistem kehakiman pada sidang akhbar selepas melawat Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Februari, 2019.

PUTRAJAYA akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan berlaku salah laku kehakiman, namun belum memutuskan sejauh mana siasatan akan dilakukan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Terpulanglah kepada RCI itu kelak untuk menyiasat dakwaan yang dibuat oleh hakim berkenaan. Terma akan ditentukan kemudian,” katanya selepas lawatan ke Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur pagi ini.

Desakan menubuhkan RCI dibuat susulan pendedahan Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer menerusi satu afidavit mendakwa rasuah dan kronisme berleluasa dalam sistem kehakiman.

Hamid berkata campur tangan dan penipuan itu membabitkan ahli politik, sektor swasta dan hakim menipu dana awam.

Katanya, beliau akan mendedahkan banyak lagi jika RCI ditubuhkan.

Persatuan sivil dan peguam juga berkata RCI akan membela hakim yang menjalankan tugas mereka dengan integriti.

Afidavit Hamid difailkan sebagai sokongan kepada permohonan peguam Sangeet Kaur Deo yang memohon deklarasi bahawa ketua hakim gagal mempertahankan integriti dan kredibiliti kehakiman berhubung dua dakwaan insiden campur tangan kehakiman.

Susulan pendedahan hakim itu, Badan Peguam Malaysia menyokong desakan menubuhkan RCI. – 21 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen