JAJARAN Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang yang pernah digelar “langkah Kajang sebenar” oleh Perdana Menteri Najib Razak kini menarik lebih daripada 120,000 pengguna setiap hari.
Sejak pelancaran Fasa 2 MRT pada 17 Julai lalu, Ketua Hal Ehwal Media Prasarana, Azhar Ghazali berkata jumlah pengguna semakin meningkat ditambah dengan tarikan potongan diskaun 50% yang diberikan sehingga 31 Ogos.
“Sejak hari pertama kami sudah beroperasi sepenuhnya, secara purata sekitar 100,000 pengguna pada hari bekerja dan 150,000 pengguna pada hujung minggu.
“Kami boleh menampung sehingga 300 orang pengguna untuk satu gerabak, jadi maksimum 1200 pengguna untuk setiap perjalanan pada satu-satu ketika,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Alexia Tan Pei Ling, 34, yang kerap menggunakan MRT untuk bekerja berkata dia gembira dengan stesyen MRT seperti di Bukit Bintang yang bersih dan lengkap, bagaimanapun dia masih kecewa dengan sikap orang awam yang membuang sampah merata-rata.
“Saya menggunakan Stesyen Jalan Tun Razak ke Bukit Bintang banyak kali, stesyen itu bertaraf lima bintang, tetapi saya nampak masih ada orang Malaysia buang sampah merata-rata,” katanya.
Seorang lagi penumpang, Farah Mudrikah yang menggunakan MRT ke Stadium Kajang untuk Sukan Sea berkata dia gembira yang stesyen itu mempunyai kemudahan sesuai seperti tempat parkir basikal dan bas perantara.
“Bagus sekali MRT dibina dengan cara yang menyenangkan orang ramai. Saya harap mereka akan memberikan lebih banyak diskaun di masa depan,” katanya.
S.Rajendran, 37, berkata dia agak kecewa dengan beberapa kemudahan yang sudah dirosakkan kerana ia akan memberi imej buruk kepada pelancong yang datang ke sini.
Dia memuji langkah terbaru Prasarana untuk memuat naik gambar memaparkan tindakan salah sesetengah penumpang yang membuang sampah merata-rata dan berkelakuan tidak sepatutnya ketika menggunakan MRT ke dalam akaun media sosial mereka.
“Seperti tandas yang saya tengok, ada yang sudah dirosakkan. Kadang kala saya duduk dalam MRT ada orang letak beg mereka di atas kerusi sampai orang lain terpaksa berdiri.
“Memuat naik (gambar) dalam media sosial bukan langkah biasa, tetapi ia satu keperluan untuk mengajar penumpang jadi pembersih, jika anda tak nak belajar, biar orang lain ajar anda,” katanya.
MRT Corporation Sdn Bhd yang berada di bawah Prasarana sudah mengambil beberapa langkah untuk menangani pengguna komuter yang tidak mempunyai kesedaran sivik.
Langkah itu termasuklah memuat naik gambar mereka yang berkelakuan tidak sesuai seperti membuang sampah, makan dan meletakkan beg di atas kerusi di dalam akaun media sosial mereka.
Syarikat itu juga memberikan pengguna diskaun 50% sehingga Hari Kebangsaan lalu.
Fasa 2 Jajaran SBK MRT bermula dari Stesyen Semantan sehingga ke Stesyen Kajang dan mempunyai 19 stesyen di sepanjang laluan 30km itu.
Fasa 2 ini dilancarkan selepas Fasa 1 Jajaran SBK mula dibuka pada Disember lepas.
Keseluruhan Jajaran SBK MRT mempunyai 24 stesyen, 7 daripadanya adalah stesyen bawah tanah. Ia adalah yang pertama daripada tiga jajaran yang dicadangkan menerusi projek MRT Lembah Klang.
Sistem MRT Lembah Klang adalah antara projek di bawah Greater Kuala Lumpur/ Bidang Keberhasilan Utama Negara Lembah Klang (NKEA).
NKEA adalah sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi yang dikawal selia Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri. – 4 September, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan