Sebalik dakwaan henti sokongan, PAS masih bersama Umno di Semenyih


Sheridan Mahavera

Ahli PAS dan ahli Umno cawangan Kantan Permai (dari kiri) Shamsul Zainuddin, Fuad Johari dan Amir Hamzah bergambar bersama ketika bertugas pada satu program kempen PRK Semenyih semalam. – Gambar The Malaysian Insight, 18 Februari, 2019.

ADAKAH PAS tidak menyokong Umno di Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih?

Tidak begitu jika mengikut kenyataan jentera kedua-dua parti yang sibuk berkempen dari rumah ke rumah untuk bertemu pengundi dan mengadakan program bersama di kawasan majoriti Melayu itu.

“Kita tidak ada arahan untuk berhenti,” kata Fuad Johari, ahli PAS cawangan Kantan Permai ketika ditemui sedang membantu mengalih trafik untuk satu program di kawasan perumahan Melayu pertengahan di Taman Kantan Permai, iaitu sebahagian daripada Semenyih.

“Hanya ada arahan untuk bersama (Umno),” katanya berseloroh ketika bertugas bersama rakan baharunya, Shamsul Zainuddin yang juga ahli Umno cawangan Kantan Permai.

“Ambil gambar hendak tunjuk dunia kita bersama Umno,” kata Shamsul ketika beliau, Fuad dan Ketua Pemuda Umno Kantai Permai Amir Hamzah buat gaya berganding tangan dan tunjuk tanda bagus sebagai mengesahkan kedua-dua parti memang bekerjasama.

Inilah realiti di akar umbi di Semenyih, walaupun dakwaan mengatakan PAS bersetuju untuk tidak menyokong Umno yang bertanding sebagai sebahagian Barisan Nasional (BN) pada PRK itu.

Zakaria Hanafi daripada BN akan bertanding melawan calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas Kuan Chee Heng.

Tetapi daripada tiga parti itu, PH ialah pesaing terbesar BN kerana ia menang Semenyih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan 8,964 undi majoriti.

Kali ini, BN mempertaruhkan sokongan PAS untuk memberikannya peluang melawan dan menewaskan PH pada PRK yang akan diadakan 2 Mac ini. Melihat kepada keputusan PRU14, BN berharap PAS akan memberikannya lebihan 6,996 undi.

Bersama dengan 14,464 undi diperoleh BN pada PRU14, gabungan pembangkang akan mendapat 21,460 undi, maka ia membolehkan mereka memenangi Semenyih. Sebagai perbandingan, PH menang Semenyih dengan 23,428 undi.

Tetapi semalam, Perdana Menteri dan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi dakwaannya bahawa PAS menandatangani perjanjian menyatakan ia tidak akan menyokong BN.

Pemimpin BN dan PAS menafikannya. Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman malah berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang akan datang berkempen untuk BN di Semenyih. – 18 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen