Hadi akan dibawa berkempen di Semenyih, kata pemimpin Umno


Abdul Hadi Awang dijangka akan turun berkempen untuk calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi sempena Pilihan Raya Kecil DUN Semenyih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Februari, 2019.

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang akan berkempen di Semenyih untuk calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman hari ini.

“Ya dia akan turun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bukit Mahkota Semenyih.

Tajuddin berkata, Hadi dijangka berkempen di Bukit Mahkota tetapi enggan mendedahkan sebarang butiran lain.

Hadi akan berkongsi pentas di Semenyih dengan pemangku Presiden Umno Mohamad Hassan, kata Ketua Umno Bahagian Sungai Buloh Megat Firdaus Megat Junid. 

Kehadiran Hadi di Semenyih akan menamatkan dakwaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS bersetuju untuk tidak menyokong Umno dan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Dr Mahathir berkata sedemikian selepas Hadi, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan setiausaha agung parti Takiyuddin Hassan mengadakan pertemuan dengannya pada 15 Februari lalu.

Pada mesyuarat itu katanya, PAS bersetuju tidak menyokong BN dan Umno pada PRK Semenyih.

Katanya, PAS menandatangani perjanjian untuk tidak akan menyokong Umno.

Perjanjian itu sepatutnya ditandatangani pada pertemuan antara dia, Hadi, Ahmad Samsuri dan Takiyuddin.

Sementara itu Hadi berkata, mesyuarat itu membincangkan hal pentadbiran antara Putrajaya dan kerajaan Kelantan dan Terengganu.

Pada hari penamaan calon, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan pemimpin dari Selangor berada di pusat penamaan calon untuk PRK Semenyih bagi menyokong Zakaria.

Dr Mahathir tidak akan menarik dakwaannya itu dan berkata perjanjian itu ditandatangani oleh Takiyuddin.

PAS memutuskan untuk keluar dari PRK Semenyih bagi memberi laluan kepada calon Umno.

Tambahan pula salah seorang pencadang Zakaria merupakan ahli PAS.

Tajuddin juga mengingatkan agar jentera parti bekerja keras bagi memastikan kemenangan dalam PRK itu.

“Jentera kami mesti bekerja dengan tahap terbaik. Ini bukan nak siapkan majlis kahwin. Ini satu perjuangan yang tak boleh kita sia-siakan,” katanya.

Tambahnya, mereka perlu mengesan pengundi dan tidak berlengah-lengah.

“Kita perlu tahu siapa yang ada bersama kita dan siapa tidak.

“Kita perlu bergerak lebih cepat dan jika kita buat dengan betul kita pasti boleh menang di Semenyih,” katanya.

PRK Semenyih bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan Zakaria, Mohd Aiman Zainali dari PH, Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Khuan Chee Heng (Bebas). – 17 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen