Perda saman bekas pengerusi, pengarah menipu jualan tanah


Looi Sue-Chern

Pengerusi Perda Haniff Khatri Abdulla berkata tuntutan saman itu dibuat berhubung dua jualan tanah untuk pembangunan yang menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 15 Februari, 2019.

LEMBAGA Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memfailkan dua tuntutan terhadap bekas pengerusinya Shabudin Yahaya dan empat pengarah berhubung tuduhan penipuan, salah guna kuasa dan kecuaian.

Pengerusi baharu Perda Haniff Khatri Abdulla berkata tuntutan saman itu dibuat berhubung dua jualan tanah untuk pembangunan ketika mereka menjawat jawatan itu, yang menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang awal minggu ini.

Tuntutan pertama difailkan pada Rabu berkenaan penjualan tanah seluas 3.7 hektar di Tok Keramat, Nibong Tebal, yang dijual pada Jun 2015 di bawah harga pasaran, menyebabkan Perda rugi lebih RM17.7 juta.

Haniff berkata mahkamah menetapkan 13 Mac untuk sebutan kes tuntutan pertama.

Tuntutan saman kedua difailkan semalam berkaitan penjualan tanah 2.3 hektar di Sg Baong, juga di Nibong Tebal, yang menyebabkan anggaran kerugian RM1.9 juta. Tiada tarikh mahkamah ditetapkan setakat ini.

“Harga jualan terlalu jauh di bawah harga pasaran pada masa itu. Kami mencatatkan kerugian yang tidak boleh dijustifikasikan,” katanya di pejabat Perda hari ini.

Haniff berkata Perda mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula dua bidang tanah itu atau, pampasan termasuk faedah.

“Tindakan juga akan diambil terhadap lima pengarah dari lembaga pengarah sebelum ini, termasuk bekas pengerusi Shabudin, berhubung tuduhan menipu, salah guna dan kecuaian.”

Shabudin yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor yang dulunya Umno, baru-baru ini menyertai Bersatu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Haniff berkata isu politik tidak ada kena mengena dengan Perda iaitu agensi persekutuan yang ditugaskan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

“Sesiapa masuk parti politik apa pun bukan masalah Perda. Perda bukan entiti politik. Kami tidak dipengaruhi oleh perubahan politik. Kami tidak akan berhenti mengambil tindakan, tanpa mengira latar belakang politik seseorang itu,” katanya.

Perda menjadi tajuk berita dua tahun lalu selepas bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada masa itu mendakwa Perda menjual tanah seluas 3.4 hektar kepada sebuah syarikat pemaju pada harga RM1.42 juta, jauh lebih rendah daripada nilai pasaran RM16.6 juta.

Tanah itu diberi oleh kerajaan negeri kepada Perda untuk dibina rumah kos rendah tetapi dijual kepada pemaju, yang kemudiannya mengemukakan kepada kerajaan negeri cadangan untuk membina lot kedai.

Shabudin mempertahankan penjualan tersebut dengan alasan ia terpaksa dibuat susulan Perda akan rugi lebih besar jika meneruskan projek rumah kos rendah itu.

Beliau memberikan alasan tanah itu dijual kerana ia berdepan risiko hakisan dan penjualannya dibuat selepas analisis keuntungan kos.

Isu penjualan tanah di bawah nilai pasaran itu kemudiannya dilaporkan kepada polis. – 15 Februari, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen