Perda ambil tindakan 4 kes salah laku pengurusan lama


The Malaysian Insight

Pengerusi Perda, Haniff Khatri Abdulla bagaimanapun enggan mendedahkan butir terperinci empat kes yang dimaksudkan atau bentuk tindakan yang akan diambil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019.

EMPAT kes salah laku pengurusan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) akan diambil tindakan sebelum 15 Februari ini, termasuk melalui saman di mahkamah, kata pengerusinya yang baharu Haniff Khatri Abdulla.

Empat kes itu dipercayai antaranya melibatkan penjualan sebidang tanah di Nibong Tebal pada harga jauh rendah daripada harga pasaran pada 2015 yang didakwa merugikan Perda.

Haniff bagaimanapun enggan mendedahkan butir terperinci empat kes yang dimaksudkan atau bentuk tindakan yang akan diambil kerana tidak mahu menjejaskan proses.

Beliau hanya berkata empat kes itu berlaku selepas 2013 dan tidak menolak kemungkinan tindakan yang dimaksudkan termasuk melibatkan saman di mahkamah.

“Yakinlah bahawa salah laku itu akan diambil tindakan sebelum 15 Februari ini.

“Peguam sudah dilantik. Peguam juga sudah berjumpa dengan pegawai kanan Perda,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selain empat kes yang akan diambil tindakan, 11 kes lain sedang diteliti untuk melihat sama ada membabitkan isu perundangan atau pentadbiran semata-mata.

Haniff berkata semua 11 kes itu berlaku sebelum 2013.

Sejak mula dilantik awal Januari, Haniff mengumumkan komitmennya mahu membersihkan agensi persekutuan itu daripada sebarang salah laku serta meningkatkan tahap integritinya.

“Dengan latar belakang guaman saya, tidak sukar untuk kenal pasti salah laku yang ada,” kata peguam dengan 27 tahun pengalaman itu.

Haniff dilantik mengetuai Perda untuk tempoh dua tahun sehingga Januari 2021.

Perda menjadi tajuk berita dua tahun lalu selepas bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada masa itu mendakwa Perda menjual tanah seluas 3.4 hektar kepada sebuah syarikat pemaju pada harga RM1.42 juta, jauh lebih rendah daripada nilai pasaran RM16.6 juta.

Tanah itu diberi oleh kerajaan negeri kepada Perda untuk dibina rumah kos rendah tetapi dijual kepada pemaju, yang kemudiannya mengemukakan kepada kerajaan negeri cadangan untuk membina lot kedai.

Pengerusi Perda ketika itu, Shabudin Yahya mempertahankan penjualan tersebut dengan alasan ia terpaksa dibuat susulan Perda akan rugi lebih besar jika meneruskan projek rumah kos rendah itu.

Beliau memberikan alasan tanah itu dijual kerana ia berdepan risiko hakisan dan penjualannya dibuat selepas analisis keuntungan kos.

Isu penjualan tanah di bawah nilai pasaran itu kemudiannya dilaporkan kepada polis.

Shabudin yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor pada Disember lalu keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas, bersama lima ahli Parlimen Umno lain.

Haniff enggan mengulas kedudukan Shabudin daripada segi politik dan kaitan usahanya membersihkan integriti Perda.

“Sama juga seperti semua orang lain, biarlah undang-undang yang menentukan,” katanya. – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen