PELANTIKAN ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu menandakan permulaan baru proses reformasi sistem pilihan raya negara yang akan dipantau dengan teliti, kata penggubal undang-undang dan kumpulan sivil.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menyambut baik pelantikan itu, yang buat pertama kalinya termasuk ahli akademik dan aktivis masyarakat awam.
Beliau yang juga bekas pengerusi Bersih 2.0 berkata dengan pelantikan itu maka semua “mata” dan “telinga” akan tertumpu kepada ahli SPR baharu dalam melaksanakan tugas mereka.
“Tahniah kepada semua yang dilantik. Ini permulaan yang baik dan saya tidak sabar untuk melihat lebih lanjut. Saya percaya mereka dapat membawa perubahan baharu bagi pilihan raya lebih adil dan mengubah sistem pilihan raya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau merujuk kepada pelantikan pensyarah fakulti undang-undang Universiti Malaysia Azmi Shahrom sebagai timbalan pengerusi SPR; dan Felo Kanan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Ikmas, Universiti Kebangsaan Malaysia Faisal Hasiz sebagai ahli SPR.
Selain mereka, tiga lagi ahli baharu SPR dilantik ialah bekas ketua setiausaha menteri luar Ramli Ibrahim, bekas pengarah jabatan tenaga kerja Chin Phaik Yoong dan pegawai Bersih 2.0 Zoe Randhawa.
Pelantikan mereka akan mengisi kekosongan enam anggota SPR sebelum ini meletak jawatan tahun lepas berikutan pengumuman Putrajaya mengenai penubuhan tribunal pada 17 Oktober tahun yang sama bagi pemecatan mereka berhubung dakwaan salah laku semasa Pilihan Raya Umum ke-14.
Maria berkata pasukan baharu SPR - ketuai pengerusinya Azhar Azizan Harun - setiap seorang daripada mereka adalah individu yang mempunyai prinsip tadbir urus dan hak asasi manusia sangat tinggi.
“Saya yakin mereka akan mengambil langkah yang berani supaya dapat mempertahankan dasar ‘satu orang, satu undi dan satu nilai’,” kata beliau yang juga adalah bekas pengerusi Bersih 2.0.
Bagaimanapun, Maria menegaskan ia tidak bermaksud SPR akan terlepas daripada kritikan jika agensi itu dilihat tersasar daripada langkah reformasi pilihan raya seperti yang berlaku ketika era Barisan Nasional.

“Kalau SPR melakukan sebarang kesalahan, jangan kata badan bukan kerajaan, saya pun akan kritik. Tidak ada perbezaan dulu dan kini,” katanya.
Pengarah Eksekutif C4 Centre Cythia Gabriel senada dengan Maria apabila berikrar yang organisasi pemantau anti rasuah itu akan memerhati prestasi dan pencapaian SPR dalam mengubah sistem pilihan raya negara ke arah lebih baik.
Mengakui agak terkejut dengan pelantikan ahli akademik, namun menyifatkan ia keputusan yang baik.
“Mereka yang dipilih adalah pakar masyarakat sivil yang berani dan mempunyai visi. Kini sudah tentu cabaran buat mereka untuk membawa perubahan sebenar kepada SPR.
“Mereka sebelum ini tahu apa tidak kena dan masalah SPR. Kita akan selalu memerhatikan mereka.”
Bagaimanapun, Felo Kajian Politik Penang Institute, Dr Wong Chin Huat tidak terkejut dengan lantikan itu dan menegaskan ia sepatutnya dilakukan lebih awal lagi.
“Saya hanya terkejut dengan kelewatan berlaku lantikan ahli akademik. Ia kali pertama selepas enam dekad.”
Sementara itu, pensyarah undang-undang Azmi dalam reaksinya kepada The Malaysian Insight berkata pelantikan itu bermakna beliau terpaksa melepaskan segala jawatannya di UM.
“Ya, saya akan bersara awal dan lepaskan semua jawatan,” katanya.
Pelepasan jawatan itu selaras dengan Artikel 114 Perlembagaan Persekutuan mengenai keaggotaan SPR yang tidak membenarkan memegang jawatan lain.
Sama seperti Azmi, Faisal juga berkata akan meletakkan jawatannya di UKM.
“Saya sedang dalam proses itu, sebab saya baru dimaklumkan semalam, dan hari ini rasmi pelantikan dikeluarkan kenyataan media.”
Faisal juga mengakui tidak sangka ditawarkan sebagai ahli SPRM namun tidak sabar memulakan tugas baru dengan membawa reformasi dalam pilihan raya negara.
“Saya agak terkejut tapi mungkin kerana kerja akademik yang saya lakukan sebelum ini banyak mengenai pilihan raya.
“Saya terkejut tetapi pada masa sama gembira dan rasa diberi penghargaan untuk berkhidmat. Saya amat menantikan menggalas tugas baru membawa reformasi dalam sistem pilihan raya negara.”
Manakala pegawai Bersih 2.0 Zoe Randhawa berkata tidak lagi memegang sebarang jawatan sejak tahun lepas.
“Saya berhenti daripada Bersih sejak tahun lepas. Jadi, saya tak perlu letak jawatan. Apa pun, saya akan komen selanjutnya dua tiga hari atau minggu,” katanya. – 14 Februari, 2019.
Komen