NAJIB Razak masih jadi beban untuk Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih walaupun popularitinya meningkat naik sekarang, kata Timbalan Pengerusi Profesor Dr Redzuan Othman.
Redzuan berkata banyak pihak dalam Umno sendiri masih menjarakkan diri mereka daripada Najib kerana percaya bekas perdana menteri itu adalah punca utama kalah pilihan raya umum lalu.
“Ada beza sokongan kepada Najib dan sokongan kepada parti, parti ada sokongan lebih banyak berbanding Najib,” katanya kepada wartawan selepas mengumumkan hasil kajian terbaru IDE mengenai PRK itu hari ini.
Tambahnya, Umno melihat bekas presiden itu sebagai beban dan mahu menjarakkan dirinya ketika parti sedang sibuk menjalani penstrukturan dan penjenamaan semula.
“Ada kelompok dalam Umno melihatnya sebagai beban. Ada perancang pilihan raya kecil mahu libatkannya, ada juga tak mahu,” katanya.
Katanya, jika Umno terus dikaitkan dengan Najib dan ada pertuduhan jenayah baharu dikenakan ke atasnya dalam tempoh dua minggu lagi, ia boleh melemahkan kedudukan Umno.
“Umno cuba memberi gambaran baharu, parti itu kini lebih yakin menggunakan (bekerjasama dengan) PAS berbanding dengan MCA dan MIC,” katanya.
Bagaimanapun, Redzuan mengakui yang Najib ada pengikut setia walaupun jumlahnya tidak signifikan.
“Semalam di Tesco Semenyih, hanya Mat Rempit yang datang. Mereka datang untuk seronok-seronok dan hiburan.
“Dia orang terkenal, sama ada awak suka atau tidak, orang masih hendak jumpa dia, tetapi dia bukan orang dominat,” katanya.
“Najib bukan lah hala tuju yang mereka mahu bersama-sama dengan Umno baharu,” tambahnya. – 14 Februari, 2019.
Komen