NAJIB Razak disambut seperti selebriti oleh penduduk Semenyih malam tadi semasa program santainya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil kerusi dewan undangan negeri kawasan itu bermula Sabtu ini.
Najib memulakan program dengan aktiviti belah belah di Tesco Semenyih malam tadi.
Beliau membeli barang keperluan seperti air mineral, sebotol minyak masak, sebotol laici kordial, sepaket cili besar, sepaket kacang dan tiga paket coklat Kit Kat.
Selepas selesai membeli belah barang keperluan dan membayar di kaunter, beliau kemudian menuju ke kedai mamak berdekatan pasar raya tersebut.
Sepanjang sejam setengah programnya, Najib yang memakai baju biru gelap meluangkan masa melayani permintaan penyokongnya untuk berswafoto.
Beliau mengakui amat berpuas hati dengan jumlah kehadiran pada malam tadi.
“Saya tidak sangka sambutan luar biasa,” katanya apabila ditanya ia tanda kemenangan kepada Umno, parti yang pernah diterajui beliau selama sembilan tahun.
“Ia menunjukkan bahasa rakyat yang sememangnya nak dekat dengan saya, mudahan ia diterjemahkan dalam bentuk sokongan nanti,” kata Najib yang berdepan dengan 42 kes mahkamah berkaitan penyelewangan wang, salah guna kuasa dan rasuah.
Sepanjang program itu, Najib langsung tidak menyentuh soal kes pendakwaan yang sedang dihadapinya.
Najib sebaliknya dilihat sibuk melayan permintaan swafoto dengan diiringi sorakan dan laungan ‘bossku’ , ‘bossku kita mahu selfie’ oleh penyokongnya.

Dengan sambutan ratusan penduduk dan penyokong, misi bekas perdana menteri itu untuk mencuri tumpuan buat Umno kelihatan berjaya.
“Saya datang sini untuk lihat dan sokong beliau. Beliau bekas perdana menteri dan saya geram apabila beliau banyak difitnah,” kata Norlizan Muhamad,49.
“Beliau dituduh macam-macam tapi sampai sekarang tidak ada bukti.
“Kita kesian dekat beliau saya mahu tunjuk bahawa Najib masih ada sokongan,” kata suri rumah itu.
Seorang lagi penduduk Semenyih, Amirul berkata Najib masih mempunyai aura sebagai pemimpin.
“Tapi saya tidak fikir ramai yang sokong beliau. Mereka cuma nak tengok bekas pemimpin,” kata lelaki berusia 35 tahun itu.
Tidak semua gembira dengan kehadiran Najib.
Di sebuah gerai tepi jalan bertentangan dengan kedai mamak, pasangan dari Johor hanya tersenyum apabila rombongan Najib melewati mereka.
“Bukan Najib shopping (beli-belah) di Amerika ke? Buat apa beliau shopping di Tesco Semenyih sini,” soal pesara polis yang enggan dikenali.
Manakala Amir yang menjual nasi ayam depan Tesco berkata; “Mungkin beliau mempunyai masa lapang sekarang.”
Katanya Najib tidak pernah turun padang ke kawasan itu semasa menjadi perdana menteri.
Sementara itu Najib apabila ditanya tentang kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali bahawa beliau patut dipanggil sebagai pencuri, ahli Parlimen Pekan itu menjawab sambil tersenyum; “Saya pencuri hati rakyat.” – 13 Februari, 2019.
Komen