SEORANG anggota bomba mengandaikan Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik keluar dari kenderaan bomba dan dipukul perusuh semasa rusuhan pada malam kedua dekat Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, November lalu.
Ahmad Shahril yang menyambung keterangan dalam inkues menentukan kematian Adib berkata, beliau membuat andaian itu selepas perusuh menyerang van Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang beliau naiki bersama Adib.
Katanya, beberapa perusuh cuba membuka pintu bahagian pemandu van itu.
“Dia (Adib) masih berada dalam kenderaan apabila rusuhan bermula dan terdapat kira-kira 50 orang meluru ke arah van.
“Saya tidak perasannya lagi kerana menumpukan perhatian terhadap tindakan perusuh yang cuba membuka pintu di sebelah saya.
“Semuanya berlaku dengan pantas dalam tempoh 50 saat,” kata Shahril.
Timbalan Pendakwa Raya Hamdan Hamzah bertanya kepada Shahril mengenai laporan polis yang dibuat oleh ketuanya, Badrul Hisham berdasarkan penjelasan beliau terhadap kejadian yang berlaku semasa rusuhan itu.
Hamdan berkata menurut laporan, ia menyatakan Adib tidak dapat kembali ke van dan dipukul oleh perusuh.
__full.jpg)
Beliau kemudiannya bertanya kepada Shahril untuk menjelaskan laporan itu.
Shahril menjawab bahawa beliau mengandaikan jika perusuh mahu membuka pintu van dan mencederakannya, mereka akan melakukan perkara yang sama kepada Adib.
“Mereka sudahpun serang van dan trak, dan tidak mustahil akan serang dia juga.”
Hamdan kemudiannya bertanya kepada Shahril mengapa beliau membuat andaian begitu.
Shahril berkata, jika perusuh menyerang trak dan van, ada kemungkinan mereka juga akan diserang.
Beliau juga berkata kali terakhir melihat Adib adalah sebelum trak bomba mengundur ke arah van EMRS.
“Dia (Adib) masih dalam van. Terdapat tiga lelaki memakai topi keledar menghampiri van dan cuba membuka pintu di sebelah saya.
“Kemudian saya menumpukan perhatian (kepada perusuh) dan apabila saya memusingkan van ke tepi trak, ketika itu saya sedar Adib telah hilang.”
Shahril berkata beliau tergamam dan terkejut dengan kejadian itu.
“Saya kemudiannya terus memandu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya. Semasa ‘roll call’, pasukan kami menyedari Adib telah hilang.
“Kami terus meminta polis untuk membantu mencari Adib.” – 12 Februari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan