Ijazah palsu bukan masalah besar, kata ahli akademik


Alfian Z.M. Tahir

Bukan masalah tidak ada ijazah untuk jadi menteri atau wakil rakyat di Malaysia kerana ia bukan syarat, tetapi ia membangkitkan soal integriti pemimpin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2019.

ADA lebih banyak isu daripada membincangkan tentang kelayakan pendidikan palsu menteri, kata Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu memberitahu The Malaysian Insight, walaupun integriti penting, dengan alas an kelayakan akademik seseorang tidak akan menyelesaikan masalah negara.

“Saya fikir terdapat banyak isu lebih besar daripada ini. Isu ekonomi lebih penting, contohnya bagaimana cara untuk kita kukuhkan ringgit.

“Saya faham integriti penting, tapi tak beri faedah kepada kita,” katanya.

Ahmad Martadha menambah, jika Barisan Nasional (BN) tidak berpuas hati dengan isu itu, parti pembangkang harus membangkitkannya di parlimen.  

“Bawa ke Parlimen. Suatu hari nanti akan ada undang-undang mengatakan sesiapa mahu jadi ahli Parlimen atau menteri mesti ada ijazah yang sah.

“Seperti di Thailand, ada undang-undang yang memerlukan seorang ahli Parlimen mendapat ijazah sebelum mereka boleh pegang jawatan itu,” katanya.

Sementara itu, pengasas politik, Ahmad Kamal Nava berkata, isu itu tidak hangat di politik kerana ramai anak muda lebih berminat dengan pertikaian yang berlaku antara Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan seorang usahawan tempatan. 

Zuraida menafikan dakwaan beliau graduan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS). – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2019.

Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming berkata, seseorang itu tidak memerlukan ijazah untuk menjadi ahli politik yang baik atau CEO syarikat yang berjaya.

“Apa yang tak boleh diterima ialah mendakwa ada ijazah tapi sebenarnya tak ada ataupun hanya mendapat dari institusi meragukan,” katanya. 

Semalam, Menteri Besar Johor Osman Sapian juga ditanya mengenai kelayakan pendidikannya tetapi beliau enggan melayan soalan itu.

Sebelum itu, Marzuki Yahya yang merupakan timbalan menteri luar negeri juga mendapat perhatian berkenaan kelayakan akademiknya.

Marzuki berkata, beliau mempunyai ijazah dari Universiti Cambridge di United Kingdom melalui pembelajaran jarak jauh, namun awal minggu ini beliau mengakui ia sebenarnya dari Cambridge International University, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Mohamad Sabu dan Zuraida Kamaruddin menafikan mereka merupakan graduan universiti dan memalsukan kelayakan akademik.

Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu memaklumkan dia tidak pernah tamat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana ditendang akibat menyertai aktivitis.

Zuraida pula menafikan dia graduan dari Universiti Nasional Singapura (NUS). – 10 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen