Kami bukan lulusan universiti, kata menteri


Mat Sabu mengakui beliau tidak tamatkan pengajian di UiTM selepas ditendang kerana menyertai aktivis. – Gambar fail The Malaysian Insight pic by Kamal Ariffin, 10 Februari, 2019.

DUA menteri Pakatan Harapan, Mohamad Sabu dan Zuraida Kamaruddin menafikan tuduhan mereka graduan universiti dan memalsukan kelayakan pendidikan.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau tidak pernah tamat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kerana ditendang akibat terlibat sebagai aktivis.

“Ada yang cakap saya ada ijazah dalam bidang kulinari, tapi saya tak pernah pun cakap.

“Yang sebenarnya saya tak sempat habis belajar, dah kena tendang,” kata menteri pertahanan.

Sementara itu, Zuraida menyangkal dakwaan beliau graduan dari Universiti Nasional Singapura (NUS).

“Dalam Utusan Malaysia, mereka tulis di biodata saya merupakan graduan NUS.

“Saya tak pernah kata saya graduan NUS. Saya juga tak bertanggjungjawab terhadap kemasukan salah maklumat di dalam Wikipedia.

“Saya kecewa media tak sahkan dahulu berita palsu ini sebelum menerbitkannya,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Johor, Osman Sapian turut ditanya mengenai kelayakan pendidikannya tetapi beliau enggan melayan soalan itu.

Osman dilaporkan tidak mempedulikan soalan pihak media mengenai ijazah perakaunannya yang diperoleh dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut New Straits Times, Osman hanya tersenyum apabila ditanya mengenai perkara itu selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Kulai.

Pemeriksaan di laman web Kerajaan Johor menunjukkan Osman mempunyai ijazah dan diploma dalam perakunan dari universiti.

Pengkritik di media social juga mendakwa tiada rekod Osman lulus dari UPM.

Latar belakang akademik pemimpin PH menjadi sasaran selepas kelayakan ijazah dimiliki Setiausaha Agung Bersatu, Mazuki Yahya meragukan.

Marzuki yang sebelum ini memberitahu mempunyai ijazah dari Universiti Cambridge di United Kingdom melalui program pembelajaran jarak jauh, awal minggu ini mengakui sebenarnya dia memperolehnya dari Cambridge International University, Amerika Syarikat.  – 10 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen