MENTERI tidak membuat promosi produk swasta dan hanya menyokong produk berkaitan kementerian atau kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau mengulas isu baru-baru ini, antara Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan seorang usahawan tempatan berkenaan produk minuman keluaran syarikatnya.
Azri Zahier Azmi yang mengusahakan minuman ringan keluaran tempatan, Hausboom, melahirkan rasa kecewanya terhadap Syed Saddiq yang menurutnya tidak memenuhi janji untuk membantu usahawan tempatan dengan mempromosikan produk mereka di Instagram menteri itu.
Beliau kecewa apabila Syed Saddiq mempromosikan jenama kek coklat yang dikatakan milik Ahli Exco Pemuda Bersatu, Ben Ali.
Wan Azizah berkata menteri itu telah menjelaskan yang beliau hanya mahu membantu mempromosikan jenama terbabit, serta memberi contoh dirinya sendiri yang membawa produk tempatan ke luar negara untuk tujuan promosi.
“Untuk promosikan produk kita tak buatkan untuk swasta. Kita buatkan kerana produk kementerian, kita memang ada berikan boost atau sokongan untuk ketengahkan produk daripada kementerian sendiri dan produk kerajaan.
“Namun saya rasa Syed Saddiq telah beri jawapan bahawa dia nak tolong. Kita pun nak tolong.
“Kadang-kadang pergi luar negeri saya bawa kraftangan Malaysia. Itu untuk promosi negara kita secara keseluruhan,” kata beliau ketika ditemui pemberita di Ampang hari ini.
Bagaimanapun, Azri menerusi Facebook semalam telah memohon maaf kepada Syed Saddiq dan rakyat Malaysia serta mengakui beliau tidak layak jadi “role model”.
“Apa pun YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, saya sejujurnya memohon maaf atas kekasaran bahasa saya,” katanya.
Menurut Azri, beliau bukan ahli politik dan bahasa yang digunakan hanya untuk menjelaskan apa yang betul dan datang dari isi hatinya.
“Aku bukan ahli politik. Bahasa aku, apa yang aku cakap adalah benda yang betul. Isi hati. Realiti. Rakyat marhaen. Aku bukan nak please sesiapa. Hanya aku dan pasukan aku.
“Hanya usahawan sebenar faham kekecewaan aku dan team aku rasa.” – 7 Februari, 2019.
Komen