SEORANG usahawan tempatan Azri Zahier Azmi memohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana didakwa tidak mempromosikan minuman HausBoom.
Dalam satu kiriman di Facebook hari ini, beliau memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan mengakui beliau tidak layak jadi “role model”.
“Apa pun YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, saya sejujurnya memohon maaf atas kekasaran bahasa saya,” katanya.
Semalam, usahawan itu yang melancarkan minuman HausBoom melepaskan kemarahannya kerana bengang dengan Syed Saddiq kerana tidak memenuhi janjinya untuk membantu usahawan tempatan mempromosikan produk mereka di akaun Instagram menteri itu.
Seorang pegawai dari kementerian menghubungi Azri berhubung inisiatif menteri itu untuk membantu usahawan dengan mempromosikan produk di akaun Istangram.
Azri dimaklumkan beliau perlu menyediakan minuman itu untuk satu mesyuarat Kabinet, bersama profil syarikat.
Katanya, beliau bukan ahli politik dan bahasa yang digunakan hanya untuk menjelaskan apa yang betul dan datang dari isi hati.
“Aku bukan ahli politik. Bahasa aku, apa yang aku cakap adalah benda yang betul. Isi hati. Realiti. Rakyat marhaen. Aku bukan nak please sesiapa. Hanya aku dan pasukan aku.
“Hanya usahawan sebenar faham kekecewaan aku dan team aku rasa.
“Kami usaha bertahun-tahun balik lewat, tinggal anak bini, ikat perut, pinjam duit orang, bergolok bergadai demi membangunkan bisnes.”
“Isunya adalah janji dan harapan yang diberi. Bukan kepada aku seorang, ada banyak lagi yang diberikan janji sama. Cuma mereka memilih untuk berdiam diri dan telan sahaja butir pasir yang disuapkan. Sebab kita rakyat marhaen.
“Empat bulan. 120 hari. Itu masa yang diberikan untuk YB menteri respon. Aku dah guna semua saluran mengingatkan janji tidak tertunai itu. Sebab itu, Syed Saddiq tak sentuh langsung bab ini.
“Termasuklah aku hantar surat rasmi berserta invois. Pada aku, kalau tak boleh kotakan janji pun tak apalah. Bayar sahaja kos sponsor tu. Bukan banyak mana pun kepada sebuah kementerian; RM192 saja. Tapi besar nilainya kepada usahawan muda macam kami,” katanya.
Kemarahan Azri tercetus apabila Syed Saddiq mempromosikan satu jenama kek coklat yang dihasilkan oleh seorang exco Pemuda Bersatu.
Syed Saddiq berkata beliau sudah mengarahkan kakitangannya untuk membayar semula kepada Azri untuk minuman yang dihantar ke kementeriannya.
Sementara itu, anak jutawan Vincent Tan, Morvin Tan Syed Saddiq bertemu bapanya untuk meminta mempromosikan produk berkaitan golongan muda di premis 7-11.
Morvin berkata beliau ada bersama dalam mesyuarat itu di mana menteri berkenaan membangkitkan topik sukan, belia dan produk tempatan.
“Saya hadir pada mesyuarat itu dan boleh mengesahkan YB Syed Saddiq berjumpa bapa saya dan tujuannya untuk membincangkan tentang sukan, belia dan produk tempatan.
“Beliau mahu mempromosikan ketiga-tiganya, dan minta bapa saya mempamerkan lebih banyak produk tempatan di 7-11,” katanya di akaun Instagram.
Ketua pegawai operasi Berjaya Times Square itu berkata bapanya menerima idea Syed Saddiq dan berjanji untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pasukan yang mengendalikan rangkaian kedai serbaneka itu.
Beliau berkata tidak adil untuk mengkritik Syed Saddiq tanpa mengetahui fakta sebenar. – 6 Februari, 2019.
Komen