Hasil laut pulih lepas Tahun Baharu Cina, kata LKIM


Sheridan Mahavera

Di bawah skim subsidi, nelayan yang berdaftar dengan kerajaan dibenarkan untuk membeli diesel daripada jeti khas Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dengan harga subsidi RM1.65 seliter berbanding harga komersial RM2.18 seliter. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2019.

BEKALAN ikan dan makanan laut dijangka pulih selepas Tahun Baharu Cina dan musim tengkujuh berakhir, kata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Agensi perikanan itu juga menolak laporan penurunan hasil laut disebabkan pengurangan kuota subsidi petrol untuk industri perikanan.

Pengerusi LKIM Faiz Fadzil menjelaskan, sambutan perayaan dan musim tengkujuh yang masih berterusan menyebabkan nelayan tidak turun ke laut.

Itulah sebab utama penurunan bekalan hasil laut yang berlaku pada masa ini, tegasnya ketika mengulas satu laporan The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun mengakui kerajaan mengurangkan bekalan diesel bersubsidi kepada nelayan sebanyak 25% tahun ini daripada 80 juta liter yang diterima setiap bulan pada 2018.

Pengurangan bekalan itu disebabkan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan, kata Faiz dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.

Di bawah skim subsidi itu, nelayan yang berdaftar dengan kerajaan dibenarkan untuk membeli diesel daripada jeti khas LKIM dengan harga subsidi RM1.65 seliter berbanding harga komersial RM2.18 seliter.

“Namun, pengurangan subsidi diesel ini bukan alasan tunggal nelayan tidak ke laut sekarang kerana mereka masih boleh membeli tambahan diesel pada harga biasa,” katanya.

Jelasnya, nelayan masih boleh turun ke laut untuk aktiviti tangkapan ikan dengan menggunakan minyak komersial yang berharga lebih mahal.

Faiz juga yakin aktiviti tangkapan ikan akan kembali rancak setelah berakhirnya musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insight bahawa nelayan mengurangkan aktiviti ke laut ekoran kekurangan bekalan diesel bersubsidi.

Ia dilaporkan nenjadi punca penurunan mendadak bekalan makanan laut dan ikan untuk Tahun Baharu Cina.

Presiden Persatuan Industri Ikan Malaysia, Chia Tian Hee memberitahu The Malaysian Insight, LKIM tidak berunding dengan nelayan sebelum memotong bekalan diesel mereka.

Chia, yang juga pengerusi Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga Sekinchan, berkata LKIM memberi peruntukan diesel berdasarkan angka 2016 dan ia menyebabkan hanya 795 bot nelayan menerima bahan bakar.

Katanya, nelayan akan menanggung kerugian besar jika mereka menampung kekurangan itu dengan membeli “diesel perindustrian” pada harga RM2.10 seliter, yang lebih mahal berbanding diesel subsidi pada RM1.65 seliter.

Malah seorang nelayan di Hutan Melintang, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata nelayan dari pelabuhan ikan terbesar di Semenanjung Malaysia tidak dilayan dengan baik.

Mengulas dakwaan itu, Faiz menjelaskan, pengagihan kuota bergantung kepada jumlah kapal dan bot di kawasan tersebut.

“Jika terdapat perpindahan kapal atau bot ke kawasan lain, pengagihan kouta diesel bagi kawasan tersebut berubah.”

Faiz berkata kerajaan akan terus membantu nelayan tetapi dengan keupayaan yang terhad ekoran masalah kekangan kewangan.

“Walaupun kuota subsidi diesel berkurangan 25%, tetapi bantuan itu masih dinikmati nelayan.

“Keprihatinan kerajaan kepada nelayan ini adalah kerana kerajaan sentiasa memahami cabaran sektor ini yang perlu berhadapan dengan risiko di laut. 

“Namun, oleh kerana kekangan kewangan dan usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara secara holistik, peruntukan subsidi diesel terpaksa dikaji semula,” katanya. – 6 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen