Bekalan makanan laut tidak cukup kerana masalah diesel


Khoo Gek San

KEKURANGAN bekalan diesel mungkin memaksa mereka yang mempunyai bajet ketat meninggalkan tradisi menghidangkan udang dan ikan bagi majlis makan malam sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Kaum Cina Malaysia mendapati sukar mendapatkan ikan, dilaporkan berpunca daripada kekurangan bekalan dan harganya yang tinggi yang hanya mampu dibeli orang golongan berkemampuan sahaja.

Harga dikatakan naik sebanyak 100% apabila permintaan meningkat.

Nelayan berkata kekurangan bekalan berlaku disebabkan masalah diesel dan bukannya musim monsun, yang menjadikannya berbahaya untuk turun ke laut.

Para nelayan mengatakan monsun adalah peristiwa tahunan yang biasanya mereka akan bersedia dengan membekukan sebahagian tangkapan bagi memastikan bekalan mencukupi sempena Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, dari Oktober hingga akhir Disember, nelayan tidak diberikan kuota penuh diesel untuk bot mereka.

Lembaga Pembangunan Perikanan (LKIM) dilaporkan menurunkan bekalan subsidi 2.88 juta liter diesel kepada nelayan di negara ini, memaksa mereka mengurangkan perjalanan menangkap ikan atau tidak turun ke laut sama sekali.

Justeru, kata nelayan, ia menyebabkan pengurangan mendadak bekalan stok ikan yang biasanya disediakan untuk perayaan itu.

Presiden Persatuan Industri Ikan Malaysia, Chia Tian Hee memberitahu The Malaysian Insight, LKIM tidak merujuk kepada nelayan sebelum memotong bekalan diesel mereka.

Chia, yang juga pengerusi Persatuan Kebajikan Nelayan dan Peniaga Sekinchan, berkata LKIM memberi peruntukan diesel berdasarkan angka 2016 dan ia menyebabkan hanya 795 bot nelayan menerima bahan bakar.

Beliau berkata jumlah bot nelayan pada Januari meningkat sebanyak 170 kepada 965 bot.

Tetapi LKIM mengurangkan kuota diesel kerana ia merujuk kepada angka 2016.

Beliau berkata nelayan akan menanggung kerugian besar jika mereka menampung kekurangan itu dengan membeli “diesel perindustrian” pada harga RM2.10 seliter, yang lebih mahal berbanding diesel subsidi pada RM1.65 seliter.

“Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kami mati akal. Kami rasa seperti hendak menangis.

“Bot nelayan berlabuh di pelabuhan selama beberapa hari bagi menunggu bekalan diesel mereka.”

Chia berkata bekalan mencukupi sebelum diesel dipotong.

Nelayan di Hutan Melintang, Perak paling terjajas dengan pemotongan subsidi diesel. – Gambar The Malaysian Insight, 4 Februari, 2019.

“Seminggu sebelum Tahun Baharu, dan kami tidak mempunyai ikan atau makanan laut untuk dijual. Nasib baik, kami mempunyai sedikit stok ikan dan udang kecil.”

Ikan yang menjadi pilihan untuk makan besar masyarakat Cina adalah ikan bawal Cina atau putih.

Chia berkata LKIM baru-baru ini berjanji untuk menyiasat masalah kekurangan diesel.

Beliau berkata nelayan di Hutan Melintang yang paling terjejas menerima bekalan bahan bakar beberapa hari lalu.

Tetapi katanya, mereka di Sekinchan masih tidak menerima apa-apa.

Presiden Persatuan Hai Suah Hutan Melintang Lee Chu Soi berkata kekurangan makanan laut disebabkan oleh tangkapan yang kecil.

Lee berkata berbanding tahun lepas, tangkapan tahun ini kira-kira 30% lebih kecil.

Beliau berkata makanan laut yang kini dijual di pasaran adalah stok beku yang ditangkap tiga bulan lalu.

Mengenai pemotongan diesel, Lee berkata 700 bot nelayan Jenis C di Hutan Melintang sebenarnya memerlukan lebih daripada 10 juta liter yang mereka minta.

“Jumlah itu tidak mencukupi.”

LKIM, katanya, mengurangkan bekalan dari 8 juta liter kepada 6 juta liter tahun lepas.

“Kami meminta 10 juta liter diesel, tetapi agensi pembangunan perikanan tidak memberikannya kepada kami.”

Seorang nelayan di Hutan Melintang, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata nelayan dari pelabuhan ikan terbesar di Semenanjung Malaysia tidak dilayan dengan baik.

“Ya, kami kadang-kala terpaksa membeli bahan bakar diesel perindustrian walaupun harganya lebih tinggi.

“Tiada apa yang boleh kami lakukan. Kami terpaksa turun ke laut. Kami perlu mencari rezeki.”

Nelayan di kampung Sekinchan kehabisan diesel pada Disember, kata Chia Tian Hee.

Sesetengah bot Sekinchan, katanya, berisiko tersangkut di kawasan cetek Sungai Besar dan Tanjung Karang untuk mengisi minyak.

Di pelabuhan nelayan di Nibong Tebal, bawal Cina “besar” berharga antara RM130 hingga RM160, dan “kecil” kira-kira RM45. Bawal putih pula berharga RM60 hingga RM75.

Di sesetengah pelabuhan, ikan dijual dalam bakul pada harga RM120-130 per kg.

Udang besar beku dari RM60 hingga RM80 per kg.

Seorang nelayan Nibong Tebal yang ingin dikenali sebagai “Encik Koh” berkata, ikan dan udang yang ditangkap di sana menurun sebanyak 80% tahun ini.

“Orang Cina suka makanan laut segar, jadi mereka beli apa yang baru ditangkap.

“Sukar untuk mengelak kenaikan harga. Perubahan iklim dan nelayan yang lebih sedikit di pelabuhan adalah beberapa faktor bagi penurunan tangkapan ikan.”

Kata Koh, ia menyebabkan permintaan ikan meningkat sebanyak 100% dan udang sebanyak 60%. – 4 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen