SELEPAS bantahan terhadap pembangunan Taman Rimba Kiara dan pertemuan dengan pemaju yang melibatkan ahli politik Pakatan Harapan (PH), penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) ingin tahu mengapa masih tiada tindakan diambil terhadap bekas menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Koordinator Selamatkan Rimba Kiara (STRK) Leon Koay berkata terdapat tanda yang mencukupi menunjukkan Tengku Adnan mempunyai konflik kepentingan dengan projek itu bagi membina blok pangsapuri mewah bertingkat di atas tanah yang diklasifikan sebagai ruang awam.
Koay berkata malah Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) menegaskan konflik kepentingan Tengku Adnan dengan projek yang diluluskan pada 2017.
“Apakah PH dan Kementerian Wilayah Persekutuan lakukan terhadap Ku Nan?
“Tidakkah (mencukupi) untuk menunjukkan konflik kepentingan (untuk tindakan diambil). Apa yang berlaku?” Kata Koay kepada The Malaysian Insight.
Tengku Adnan berdepan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3 juta yang dikaitkan dengan pembangunan berasingan, di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, tetapi setakat ini, tiada tindakan diambil berhubung Taman Rimba Kiara.
Bulan lepas, pengarah eksekutif C4, Cynthia Gabriel berkata, Tengku Adnan mesti disoal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusannya membenarkan pembangunan Taman Rimba Kiara.
Hubungan Ku Nan dengan para pengarah syarikat yang dianugerahkan projek pembangunan itu menimbulkan persoalan tentang “konflik kepentingan yang serius”, katanya.
Tengku Adnan, sebagai bekas menteri, mengawasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan juga pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).
Di bawahnya, status tanah Taman Rimba Kiara, yang merupakan tanah awam, dipindahkan kepada YWP, yang kemudiannya membentuk usaha sama dengan pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd untuk membina lapan blok pangsapuri setinggi 42 hingga 54 tingkat dan satu blok 29 tingkat perumahan mampu dimiliki.

DBKL memberikan kebenaran projek diteruskan pada Julai 2017 walaupun mendapat bantahan penduduk TTDI.
Koay bertanya apa yang PH akan lakukan mengenai laporan C4 berhubung konflik kepentingan Tengku Adnan dengan projek itu.
“Laporan sudah keluar, jadi apa yang akan mereka lakukan?”
Sementara itu, sebuah jawatankuasa kerjasama yang dibentuk untuk menyelesaikan kebuntuan projek itu akan bertemu selepas Tahun Baharu Cina, tambah Koay.
Mesyuarat terakhirnya pada Disember menyaksikan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menolak cadangan balas pemaju untuk mengurangkan bilangan bangunan kondominium daripada lapan kepada empat blok.
“Yeoh tidak memberikan maklumat lebih terperinci kerana beliau berkata cadangan itu tidak dapat diterima. Beliau meminta pemaju memberikan skala yang lebih kecil,” kata Koay.
Jawatankuasa ini terdiri daripada Yeoh, YWP, kementerian dan wakil daripada persatuan penduduk TTDI dan rumah panjang Bukit Kiara.
“Mesyuarat jawatankuasa kerja bersama akan diadakan selepas Tahun Baharu Cina. Kami akan menunggu mereka memberi nasihat kepada kami dengan sewajarnya.
“Harapan kami adalah untuk melihat pengecilan skala selanjutnya oleh pemaju.” – 3 Februari, 2019.
Komen