BEKAS menteri wilayah persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor mesti disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusan beliau membenarkan pembangunan Taman Rimba Kiara, kata kumpulan anti-rasuah.
Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronysm (C4) Cynthia Gabriel berkata hubungan antara Tengku Adnan dan pengarah-pengarah syarikat yang dianugerahkan projek pembangunan itu menimbulkan persoalan “konflik kepentingan” yang serius.
Tengku Adnan juga merupakan pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan, yang memiliki usaha sama dengan Malton Group, pemaju projek Taman Rimba Kiara.
“Nampaknya Tengku Adnan boleh menyalahgunakan jawatannya dengan membuat keputusan dengan cara yang akan memberi faedah peribadi dan favoritisme (pilih kasih) terhadap sekutu-sekutunya dan ahli keluarga,” kata Gabriel dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 13 Julai 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan Perintah Pembangunan bagi projek mega di kawasan hijau Taman Tun Dr Ismail, walaupun terdapat bantahan daripada penduduk tempatan.
Projek tersebut membabitkan pembinaan lapan blok pangsapuri mewah setinggi 42 dan 52 tingkat serta blok setinggi 30 tingkat bagi unit mampu milik.
Gabriel mendesak kerajaan Pakatan Harapan menjelaskan kepada orang ramai sama ada terdapat sebarang proses tender terbuka untuk usaha sama ini, atau siasatan dalaman dijalankan ke atas “perjanjian tanah yang sangat mencurigakan”.
“C4 akan terus mendesak mengenai tuntutan kami bagi meneliti lebih banyak penjualan aset dan harta kerajaan, dan menuntut hak untuk mengetahui, dan hak untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai urusan perolehan kerajaan dan penjualan harta benda,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tengku Adnan, 68, kini menghadapi dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3 juta berhubung projek pembangunan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Beliau memohon untuk dibicarakan terhadap dua pertuduhan tersebut. – 22 Januari, 2019.
Komen