Lantikan politik dalam Yadim tidak langgar manifesto Pakatan


Asila Jalil

GLC yang disebut dalam manifesto PH adalah yang berperanan membawa keuntungan untuk manfaat ekonomi negara, sedangkan Yadim tiada peranan dalam ekonomi, kata Syahredzan Johan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019.

PELANTIKAN ahli politik Pakatan Harapan (PH) dalam Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) mungkin mencetuskan kontroversi, tetapi ia tidak melanggar manifesto gabungan itu berkenaan lantikan politik khususnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang membuat keuntungan, kata Syahredzan Johan.

Menurut setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang itu, GLC yang disebut dalam manifesto PH adalah yang berperanan membawa keuntungan untuk manfaat ekonomi negara.

“Yadim mungkin tidak termasuk dalam definisi tradisional GLC tetapi saya fikir ini sesuatu yang boleh kita lihat dan dibahaskan oleh rakyat.

“Janji (dalam manifesto) adalah mengenai GLC yang berperanan dalam ekonomi.

“Yadim tiada peranan dalam ekonomi. Peranan Yadim adalah berkenaan kemajuan agama tetapi bukan ekonomi,” kata peguam itu ketika diminta mengulas mengenai kritikan terhadap PH berhubung pelantikan dalam yayasan itu baru-baru ini.

Penyokong Barisan Nasional (BN) dan pemerhati politik menyelar tindakan PH yang baru-baru ini melantik beberapa ahli politik dalam lembaga pengarah Yadim serta beberapa entiti kerajaan lain.

Nik Omar Nik Abdul Aziz dari Amanah dilantik sebagai Yang Dipertua Yadim, manakala beberapa lagi ahli parti itu dilantik sebagai ahli lembaga pengarah. Mereka ialah Zolkharnain Abidin, Abdul Ghani Sham­suddin, Ahmad Sayuti Bashiron, Shamsul Ma’arif Ismail dan Maznah Daud.

Ahli Parlimen Syed Ibrahim Syed Noh dari PKR dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Yadim.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019.

Ahli lembaga pengarah lain termasuk Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Merbok Nor Azrina Surip dari PKR serta Adun Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali (DAP) dan Ketua Bahagian Bersatu Cheras Dr Shamsu Adabi Mamat.

Syahredzan tidak menafikan pelantikan itu bersifat politik, tetapi beliau menegaskan yang ia tidak melanggar manifesto PH. Pelantikan itu katanya dibuat berdasarkan merit yang dijanjikan dalam manifesto untuk menambah baik tadbir urus GLC supaya bertaraf dunia.

Tambah beliau, ketika PH masih pembangkang, kritikan terhadap BN adalah mengenai lantikan politik dalam GLC seperti Felda dan Tabung Haji.

Pada dasarnya, individu yang dilantik ke dalam lembaga pengarah Yadim masih perlu membuktikan bahawa lantikan tersebut adalah berbaloi.

“Siapa pun yang dilantik, pada akhirnya hendaklah dipastikan menjalankan tugas dengan baik supaya keyakinan rakyat diperolehi,” katanya. 

Pemerhati politik berkata pelantikan baru-baru ini menunjukkan PH tahu bahawa tidak begitu mudah untuk mengelak amalan lantikan politik seperti yang diamalkan BN.

“Memang mudah mengkritik semasa jadi pembangkang berbanding melaksanakan pembaharuan yang mereka perjuangkan,” kata Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya.

Jelasnya, mencari calon bukan dari kalangan ahli politik adalah sukar kerana PH harus berdepan kritikan dari dalam, iaitu dari mereka yang mengharapkan “ganjaran”.

“Terutamanya mereka yang sudah lama berjuang bersama PH dan mahukan ganjaran dalam bentuk jawatan.”

Anak perempuan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Nurul Iman dilantik ke dalam lembaga pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).  – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2019.

Tambah beliau, PH perlu menerima bahawa tolak ansur seperti itu boleh menjejaskan kedudukannya di mata pengundi. Pengundi pula katanya, perlu juga menerima bahawa lantikan politik adalah sebahagian daripada kelangsungan politik dan lantikan ini untuk membuktikan yang mereka mampu melaksanakan tugas.

Beberapa individu yang ada kaitan dengan kerajaan PH telah dilantik memegang jawatan penting dalam GLC baru-baru ini.

Antaranya ialah peguam Bersatu Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang dilantik sebagai pengerusi  Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Anak perempuan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Nurul Iman dilantik ke dalam lembaga pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Dr Dzulkefly menegaskan yang kementeriannya tidak terlibat dengan pelantikan anaknya itu.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi pula baru-baru ini diumumkan sebagai pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Awal bulan ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun melantik Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Sukiman Sarmani sebagai pengerusi Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara), manakala Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai pengerusi Mara Corporation Sdn Bhd. – 1 Februari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen