PELANTIKAN anak Dr Dzulkefly Ahmad sebagai ahli lembaga pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tiada kaitan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), lapor media.
Dr Dzulkefly dipetik berkata beliau sudah membuat penjelasan mengenai isu itu, malah anaknya Nurul Iman juga sudah membuat laporan kepada agensi anti rasuah.
“Saya sudah keluarkan kenyataan. Pelantikan Nurul Iman langsung tidak ada kena mengena dengan KKM.
“Beliau juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya, seperti dipetik Sinar Online.
Dr Dzulkefly mengulas kritikan umum konon anaknya dilantik ke jawatan dalam AIM kerana kedudukan beliau sebagai menteri kesihatan.
Selain Nurul Iman, pelantikan Junaidah Kiting sebagai pengerusi AIM juga dipertikaikan kerana beliau isteri kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya. Mereka dilantik pada Oktober lepas.
Nurul Iman dan Junaidah minggu lalu menafikan pelantikan mereka ada kaitan dengan kronisme seperti yang didakwa pelbagai pihak termasuk pemimpin DAP Johor Dr Boo Cheng Hau dan pengasas AIM, Sukor Kasim.
Minggu lalu, Dzulkefly juga membuat penjelasan beliau tidak tahu menahu tentang pelantikan anaknya itu ke AIM dan meminta beliau berfikir panjang selepas ia jadi pertikaian.
Nurul Iman bergiat aktif dalam AIM sejak April tahun lalu, kata Dzulkefly, kira-kira enam bulan sebelum dilantik ke lembaga pengarahnya.
Nurul Iman juga mempertahankan pelantikannya yang ada kaitan dengan latar belakangnya sebagai peguam, selain sebagai seorang wanita untuk sebuah agensi yang mengendalikan pinjaman kecil untuk usahawan wanita.
AIM ialah sebuah badan yang menyediakan pinjaman kecil sejak akhir 1980-an kepada golongan miskin sebagai peluang untuk mereka berdikari dan keluar dari garis kemiskinan. – 28 Januari, 2019.
Komen