PEGUAM terkemuka, Haniff Khatri Abdulla berkata Peguam Negara Tommy Thomas perlu bertanggungjawab atas tribunal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang mana panel lima hakim menangguhkan keputusan sama ada ia akan diteruskan atau tidak.
Keputusan itu susulan peguam memberitahu yang dapatan tribunal itu mungkin dianggap akademik.
Tribunal tersebut ditubuhkan bagi menyiasat enam bekas pesuruhjaya SPR berhubung persediaan dan pengendalian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lepas.
Bagaimanapun, prosiding ditangguhkan pada Isnin selepas peguam yang mewakili keenam-enam bekas pesuruhjaya itu berkata tribunal tersebut adalah akademik kerana mereka telahpun meletak jawatan masing-masing pada 1 Januari lalu.
Haniff menggesa Thomas memohon maaf kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan kerana “kesilapan Perlembagaan dan kehakimannya”. Tambah beliau, pada hari pertama prosiding, peguam M Puravelan yang dilantik Thomas sendiri telah memaklumkan kepada panel yang perkara itu telah menjadi akademik.
“Bagaimana, seorang peguam yang dilantik oleh Thomas mempunyai pandangan yang bercanggah dengan peguam negara mengenai tribunal? Percanggahan memalukan seperti itu, yang melibatkan Perlembagaan, tidak sepatutnya dibenarkan berlaku.”
Jelasnya lagi, Thomas sepatutnya menasihatkan perdana menteri supaya mengesyorkan kepada Yang diPertuan Agong untuk menolak surat peletakan jawatan keenam-enam bekas pesuruhjaya tersebut, sekurang-kurangya sehingga tribunal ditubuhkan dan keputusan berhubung salah laku mereka dibuat.
Kenyataan Thomas semalam juga boleh dianggap sebagai mengganggu kehakiman dan menghina tribunal, kata Haniff. – 31 Januari, 2019.
Komen