Tribunal bekas pesuruhjaya SPR bukan akademik, tegas Tommy Thomas


Peletakan jawatan bekas pesuruhjaya SPR yang disiasat bukan alasan mereka boleh terlepas dari beban tanggungjawab, sekiranya terbukti ada salah laku, kata Peguam Negara Tommy Thomas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2019.

TRIBUNAL menyiasat bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan proses akademik sebaliknya perlu bagi menentukan ada atau tidak salah laku semasa menguruskan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) , kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Sekiranya diputuskan oleh tribunal ada salah laku, mereka yang letak jawatan mungkin hilang hak dan faedah jawatan sama seperti seolah-olah dipecat, katanya.

Jelas Thomas, peletakan jawatan bekas pesuruhjaya yang disiasat bukan alasan mereka boleh terlepas dari beban tanggungjawab, sekiranya terbukti ada salah laku.

“Jelas bahawa peletakan jawatan anggota-anggota SPR merupakan langkah yang sengaja diambil bagi menggagalkan siasatan tribunal dan untuk mengelakkan keaiban akibat pemecatan, serta segala kesan yang berikutan,” kata peguam negara dalam satu kenyataan. 

“Peletakan jawatan anggota-anggota SPR tersebut dibuat sebaik sahaja terdapat laporan bahawa kerajaan telah memulakan proses untuk menubuhkan tribunal, namun tarikh berkuat kuasa dilewatkan secara sepihak kepada 1 Januari 2019.”

Pada awal bulan ini, Jabatan Peguam Negara mengumumkan penubuhan tribunal yang terdiri daripada hakim-hakim bersara Mahkamah Persekutuan untuk menyiasat tuduhan salah laku bekas anggota SPR serta peranan mereka dalam menyedia dan mengendalikan PRU14.

Tribunal itu bertujuan untuk menyiasat peranan enam bekas anggota SPR iaitu Othman Mahmood, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Bala Singam Karupiah dan Leo Chong Cheong.

Bagaimanapun, pada hari pertama prosiding pada Isnin lalu, peguam yang mewakili keenam-enam individu berkenaan berkata tribunal tersebut adalah akademik kerana mereka telahpun meletak jawatan masing-masing pada 1 Januari lalu.

Susulan itu, tribunal menangguh keputusan sama ada perlu meneruskan atau tidak prosiding.

Pada hari sama, Bernama melaporkan peguam mewakili empat daripada enam bekas anggota SPR yang disiasat tribunal itu berkata mereka sedang mempertimbang untuk menyaman Thomas.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Othman Mahmood, Abdul Aziz Khalidin, Md Yusop Mansor serta Sulaiman Narawi berkata tindakan itu adalah kerana pihaknya melihat penubuhan serta persidangan tribunal itu tidak perlu diteruskan memandangkan Thomas mengetahui anak guamnya telah menghantar surat perletakan jawatan sekitar November lepas dan perletakan jawatan itu berkuatkuasa pada 1 Januari lepas.

Beliau turut menyifatkan penubuhan dan persidangan tribunal itu sebagai suatu pembaziran terhadap peruntukan perbelanjaan negara.

“Pengerusi tribunal ini mengatakan ada two terms of reference yang dibangkitkan iaitu untuk mengenal pasti jika ada berlaku salah laku (oleh bekas ahli SPR pada PRU14) dan menyingkirkan mereka (daripada SPR). Bagaimanapun, dalam hal ini, anak-anak guam saya telah meletakkan jawatan maka kedua-dua terms of reference tidak terpakai.

“Keadaan mungkin berbeza jika tribunal ini bersidang sebelum 1 Jan. Tujuan tribunal hanya satu iaitu untuk tamatkan khidmat mereka, namun, orang dah letak jawatan tidak boleh dipecat, ini common sense,” kata beliau dipetik Bernama.

Menurut Thomas, kenyataan yang dikeluarkan hari ini adalah untuk menjelaskan kedudukan Jabatan Peguam Negara berhubung isu awalan yang dibangkitkan oleh pengerusi tribunal.

Tribunal tersebut katanya telah diberi mandat untuk menyiasat tindakan anggota SPR, sebelum dan pada hari mengundi pada 9 Mei lepas untuk menentukan seiranya terdapat salah laku.

Tribunal kemudiannya akan mengesyorkan kepada Yang Dipertuan Agong berhubung tindakan yang boleh diambil terhadap mereka.

Ini termasuklah memecat mereka, kata Thomas.

“Berdasarkan mandat-mandat ini, tribunal perlu terlebih dahulu menjalankan siasatan berkenaan perbuatan anggota-anggota SPR seperti yang dinyatakan dalam 13 pertuduhan terhadap mereka, bagi menentukan fakta berkenaan isu salah laku.

“Pertuduhan-pertuduhan ini amat serius, dan sekiranya dibuktikan, akan menunjukkan kesalahan anggota-anggota SPR dalam pengelolaan PRU14.

“Tempoh yang relevan yang ditugaskan untuk siasatan tribunal ialah sebelum dan pada hari mengundi. Anggota-anggota ini masih memegang jawatan dalam SPR pada masa tersebut dan tindakan mereka pada masa itulah yang disiasat.” – 30 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen