PASUKAN peguam mewakili empat bekas ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang disiasat oleh Tribunal Pilihan Raya hari ini berhubung dakwaan salah laku ketika mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, sedang mempertimbang untuk menyaman peguam negara, Tommy Thomas.
Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata tindakan itu adalah kerana pihaknya melihat penubuhan serta persidangan tribunal itu tidak perlu diteruskan memandangkan Thomas mengetahui anak guamnya telah menghantar surat perletakan jawatan sekitar November lepas dan perletakan jawatan itu berkuatkuasa pada 1 Januari lepas.
Beliau turut menyifatkan penubuhan dan persidangan tribunal itu sebagai suatu pembaziran terhadap peruntukan perbelanjaan negara.
“Pengerusi tribunal ini mengatakan ada two terms of reference yang dibangkitkan iaitu untuk mengenal pasti jika ada berlaku salah laku (oleh bekas ahli SPR pada PRU14) dan menyingkirkan mereka (daripada SPR). Bagaimanapun, dalam hal ini, anak-anak guam saya telah meletakkan jawatan maka kedua-dua terms of reference tidak terpakai.
“Keadaan mungkin berbeza jika tribunal ini bersidang sebelum 1 Jan. Tujuan tribunal hanya satu iaitu untuk tamatkan khidmat mereka, namun, orang dah letak jawatan tidak boleh dipecat, ini common sense,” katanya kepada pemberita selepas persidangan tribunal itu di Kompleks Mahkamah Klang di Klang hari ini.
Tambah beliau, jika sekalipun anak guamnya masih berkhidmat dengan SPR, mereka mempunyai imuniti seperti mana yang tertakluk di bawah Seksyen 6 Akta SPR 1957 daripada didakwa di mahkamah berkaitan salah laku melainkan ianya hanya dibangkitkan menerusi tribunal seperti itu.
Disebabkan itu, menurut Mohd Khairul Azam, persidangan tribunal itu selepas anak guamnya meletakkan jawatan disifatkan sebagai suatu kekhilafan dibuat oleh Thomas dan beliau sepatutnya bertanggungjawab ke atas segala kos yang dibelanjakan bagi menjalankan tribunal itu.
Pada persidangan tribunal itu, Mohd Khairul Azam bersama dua lagi peguam iaitu Shaharudin Ali dan Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili Othman Mahmood, Abdul Aziz Khalidin, Md Yusop Mansor serta Sulaiman Narawi.
Dua lagi bekas ahli SPR yang turut terlibat dalam siasatan tribunal adalah K Bala Singam dan Leo Chong Cheong.
Ahli tribunal itu pula terdiri daripada hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang bersara iaitu Amar Steve Shim Lip Kiong (pengerusi tribunal), Zaleha Zahari, Suriyadi Halim Omar, Jeffrey Tan Kok Wha dan Dr Prasad Sandosham Abraham.
Terdahulu, peguam M Puravalen dari Badan Peguam, yang membantu lima ahli tribunal itu berkata dapatan daripada tribunal tersebut yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh enam ahli SPR terbabit semasa penyediaan dan pengendalian PRU14 tahun lepas, berkemungkinan ditafsir sebagai akademik memandangkan kesemua mereka telah meletak jawatan. – Bernama, 28 Januari, 2019.
Komen