SERAMAI kira-kira 20 kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini disiasat berhubung kes kebocoran maklumat kontrak bernilai RM60 juta, kata datuk bandar.
Nor Hisham Ahmad Dahlan mengesahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu bermula semalam.
Sementara itu, individu terbabit akan ditukar ke jabatan lain buat masa ini.
“Semua dalam satu jabatan itu kita akan tukar ke jabatan lain,” katanya ketika ditemui selepas satu sidang media di Putrajaya.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata, kesahihan senarai yang dibocorkan itu juga masih diragui.
Senarai berkenan disiarkan di Facebook oleh seorang aktivis Umno Zaharin Yasin semalam.
Mengulas lanjut, Khalid berkata senarai kontraktor yang mendapat projek tersebut juga masih diragui.
“Kita pun tidak tahu betul atau tidak betul. Sebab ia senarai, sesiapapun boleh tulis,” katanya.
Malah beliau juga masih belum menerima senarai akhir bagi kontraktor yang dipilih itu, katanya kepada pemberita.
Beliau percaya maklumat itu sengaja dibocorkan oleh pihak yang tidak mendapat kontrak berkenaan kali ini.
Jelasnya projek itu melibatkan peruntukan sehingga RM2 juta kepada setiap kontraktor.
“Tapi biasanya setiap tahun kontraktor sama saja yang dapat,” katanya yang menyifatkan kumpulan kontraktor itu sebagai “kartel”.
Beliau percaya kartel inilah yang mengawal pegawai DBKL yang terlibat.
“Sebab itu kita panggil kartel. Mereka yang kawal pegawai ini,” kata Khalid.
Untuk memecahkan dominasi kartel terbabit, kerajaan menjalankan penilaian semula ke atas kontraktor pembersihan sungai.
“Jadi yang dapat (kontrak bersihkan sungai) ini semuanya kontraktor baharu,” kata ahli Parlimen Amanah itu lagi.
Beliau mengancam mengemukakan saman ke atas aktivis Umno tersebut dan menuntut permohonan maaf. – 30 Januari, 2019
Komen