MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengancam untuk mengemukakan saman ke atas seorang aktivis Umno yang menuduh beliau terlibat menawar tender untuk projek Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tanpa mesyuarat.
Saman itu juga bagi menangkis tuduhan aktivis berkenaan, Zaharin Mohd Yasin yang mendakwa beliau membatalkan tender yang diputuskan jawatankuasa tender DBKL, katanya.
Khalid yang berbalas kenyataan dengan Zaharin di Facebook berkata demikian susulan dakwaan aktivis Umno itu yang turut mendedahkan pendedahan keputusan tender tersebut semalam.
“Berhubung tuduhan bahawa saya dan Datuk Bandar Kuala Lumpur ‘bersekongkol menawarkan tender tanpa bermesyuarat’, tunggulah surat daripada peguam saya.
Menurut Khalid, pendedahan keputusan tender itu juga membuktikan kenyataan beliau bahawa DBKL didalangi oleh pihak berkepentingan yang digelarnya sebagai “tangan ghaib”.
Jelasnya beliau sendiri belum menerima keputusan tender tersebut dan percaya ia didedahkan oleh “tangan ghaib” tersebut yang tidak mendapat untung daripada pemilihan kontraktor berkenaan.
“Inilah dia bukti wujudnya tangan ghaib dalam DBKL.
“Keputusan tender beserta dengan senarai kontraktor siap diperolehi oleh Zaharin Mohd Yasin, sedangkan saya sendiri sampai sekarang belum terima keputusan tersebut.
“Maka meroyanlah semua yang ada hubungan dengan tangan ghaib ini setelah diikat dan dijentik mula terlepas projek,” katanya.
Beliau tidak menamakan individu digelar “tangan ghaib” itu tetapi dipercayai berkaitan tindakan yang dijalankan selepas beliau dilantik mengetuai kementerian bertanggungjawab ke atas DBKL.
Antaranya, kes 97 jualan tanah oleh DBKL di antara 2011 sehingga 2018 yang sebahagian besarnya dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam tindakannya sebaik menjadi menteri, Khalid juga menyingkirkan ahli lembaga penasihat DBKL yang dilantik secara politik oleh pentadbiran Barisan Nasional.
Zaharin semalam yang mendakwa Khalid serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan “bersekongkol menawarkan tender tanpa mesyuarat”.
“Khabar dari mulut ke mulut. Tender yang diluluskan oleh jawatankuasa tender DBKL telah dibatal atas arahan menteri,” dakwanya di Facebook.
Senarai kontraktor yang didedahkan Zaharin itu bagi kerja membina, menyelenggara dan membersih sungai serta kolam takungan banjir di Kuala Lumpur untuk 2018 hingga 2020.
Ia menyenaraikan sehingga 30 buah syarikat kontraktor.
Mengulas lanjut mengenai tuduhan itu, Khalid berkata ia bukan lagi satu provokasi tetapi kenyataan fitnah.
“Saya cadangkan Zaharin tarik balik dan minta maaf,” kata Khalid. – 30 Januari, 2019.
Komen