MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu yang seorang lagi sepupu mendiang Altantuya Shaariibuu melihat gambar model Mongolia itu bersama Abdul Razak Baginda dan seorang menteri.
Namiraa Gerelmaa yang memberi keterangan dalam kes saman RM100 juta keluarga Altantuya terhadap kerajaan Malaysia berkata, gambar itu ditunjukkan kepada beliau pada Oktober 2006 semasa datang ke Malaysia bersama mendiang untuk meminta bayaran dari Abdul Razak bagi kerja-kerja terjemahanya dalam perjanjian pembelian kapal selam.
Datuk Namiraa merupakan abang kepada nenek Altantuya. Turut mengikuti mereka ke Malaysia pada masa itu ialah rakan Altantuya, Uuriintuya Gal-Ochir, kata Namiraa.
Beliau berkata gambar itu ditunjukkan semasa berada di Kuala Lumpur dan Altantuya memberitahu Abdul Razak adalah kekasihnya, manakala lelaki kedua di dalam gambar itu sebagai “Najib”.
“Saya tak ingat nama penuhnya. Saya ingat dia (Altantuya) beritahu lelaki itu ialah seorang menteri. Altantuya keluarkan gambar itu dari begnya dan kemudian masukkan semula ke dalam begnya,” Namiraa beritahu mahkamah.
Namiraa, 35, ibu kepada empat anak menetap di Ulaanbaatar, Mongolia, tidak memberikan gambar tersebut kepada mahkamah hari ini.
Pada minggu lepas, sepupu Altantuya, Burmaa Oyunchimeg ketika memberi keterangan pada mahkamah berkata, mendiang pernah menunjukkan sekeping gambarnya bersama Abdul Razak dan seorang ahli politik yang juga dikenali sebagai “Razak”.
Hari ini, Namiraa juga seperti Burmaa, menafikan sekeping lagi gambar dua lelaki dan seorang wanita yang kini tersebar adalah gambar sama yang ditunjukkan kepada mereka.
Namiraa berkata Altantuya juga menunjukkan gambar itu kepada Uuriintuya sebelum menyimpan semula ke dalma begnya.
“Dia sepanjang masa pegang beg itu,” katanya.
Sepanjang berada di Kuala Lumpur, mereka bertiga menginap di Hotel Malaya, kata Namiraa.
Jelasnya, mereka ke Malaysia kerana Altantuya mahu mendapatkan bayaran bagi kerja-kerja terjemahannya.
“Dia beritahu saya yang “pihak Malaysia” akan beli kapal selam dari Rusia dan akan mesyuarat diadakan di Perancis. Dia kata Razak mahu dia terjemah dari Bahasa Inggeris ke Rusia dan begitu juga sebaliknya pada mesyuarat tersebut. Katanya ia adalah perjanjian.”
Semasa datang ke Malaysia, Namiraa memberitahu mahkamah bahawa mereka bertiga telah beberapa ke pejabat Abdul Razak dan diganggu oleh orang upahan Abdul Razak yang dikenali sebagai Bala serta seorang lagi bernama Suras Kumar yang berbadan kurus dan tinggi.
Namiraa berkata kedua-dua lelaki itu mengekori mereka dan berlegar-legar di kawasan hotel. – 30 Januari, 2019.
Komen