PAKATAN Harapan (PH) perlu segera menangani persepsi kononnya ia anti-Melayu dan bersungguh-sungguh melaksanakan janji pilihan raya untuk mengekalkan sokongan Melayu terhadapnya, kata beberapa pemimpin parti.
Selain menjadikan agenda Melayu sebagai keutamaan bersama, manifesto pilihan raya atau Buku Harapan harus jadi petunjuk prestasi utama (KPI) pemimpin PH, kata mereka.
Pengarah Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yakin sokongan pengundi Melayu terhadap PH akan meningkat sekiranya parti komited melaksanakan manifesto, dan tidak menyalahkan kerajaan sebelum ini.
“Janji tetap janji. Kena fikirkan cara untuk menunaikannya. Sekiranya setiap kementerian diagihkan manifesto dan diberikan KPI untuk melaksanakannya, ia boleh dilaksanakan.
“Sekiranya ada manifesto yang sukar atau tidak dapat dilaksanakan, maka penerangan yang jelas perlu dibuat kepada rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kajian terbaru Ilham Centre mendapati sokongan pengundi Melayu terhadap PH merosot dalam tempoh sembilan bulan sejak jadi kerajaan pada Mei tahun lepas.
Keyakinan pengundi Melayu terhadap PH runtuh antara lain kerana parti itu tidak menunaikan manifesto pilihan raya terutamanya isu kos sara hidup yang bebannya masih mereka rasai walaupun sudah menukar kerajaan.

Mereka juga hilang keyakinan terhadap PH susulan beberapa pelantikan jawatan institusi penting yang tidak lagi dipegang oleh Melayu dan Islam, kata badan penyelidik itu.
Kemuncak tidak puas hati orang Melayu itu dizahirkan melalui perhimpunan besar membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal.
“PH hanya dilihat defensif. Kerajaan tiada penyelesaian tuntas untuk masalah dasar dan menangani persepsi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kajian awal Ilham Centre terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menunjukkan PH hanya mendapat 17% sokongan Melayu, jauh di belakang PAS yang mendapat 35% dan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno meraih 46%.
Kajian pada Ogos lalu itu juga mendapati 11% daripada pengundi Melayu yang memilih PH pada PRU14 sedia untuk mengundi Umno dan BN semula pada PRU15 nanti.
Menurut Rais, sokongan Melayu terhadap PH turut bergantung pada perang persepsi di media sosial, yang pada masa ini dikuasai oleh BN.
“Persepsinya PH dilihat tidak mengutamakan Melayu tetapi hakikatnya kita sememangnya menjunjung Perlembagaan, Melayu Islam, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan sebagainya, sejak awal penubuhan PH lagi,” katanya, dan menambah persepsi itu tidak boleh dipandang remeh.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mengakui perang persepsi ini juga antara punca PH kalah dalam pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highlands, Ahad lalu kerana sentimen anti-Melayu menyebabkan ia gagal menambah undi Melayu.
“Ini PH tidak boleh pandang remeh walaupun tiada bukti kukuh tentang sentimen anti-Melayu yang disebarkan kepada rakyat.
“Persepsi dibangkitkan pembangkang meresap dalam pemikiran masyarakat. Saya akan cadangkan kepada PH untuk kenal pasti isu sebenar.
“Pada masa sama PH kena kukuhkan saluran komunikasi dan guna sebaik-baiknya saluran kerajaan,” katanya yang juga menteri pertanian dan industri asas tani.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar pula berharap pemimpin PH perlu bekerja lebih keras dan menjaga komunikasi kerana mereka sekarang sudah jadi kerajaan.
“Kena kerap turun padang pastikan maklumat dan kebaikan kerajaan sampai pada rakyat. Isu rasuah juga perlu disampaikan kerana ia adalah isu besar yang ditangani PH,” kata ahli Parlimen Pokok Sena itu.
“Pemimpin juga perlu terbuka tetapi kena juga berhati-hati dan tidak membuat kenyataan yang boleh mengguriskan hati orang Melayu,” katanya yang juga timbalan menteri.
Dalam pada itu, pemimpin muda PKR mahu PH menyusun dasar dan arah tuju yang jelas termasuk mengangkat agenda Melayu untuk meyakinkan pengundi Melayu bahawa parti itu membela nasib mereka.
“Kerajaan perlu lebih sensitif dalam isu-isu dan hal-hal yang melibatkan kepentingan masyarakat Melayu khususnya perkara-perkara berkaitan agama Islam, bahasa, pendidikan dan kebudayaan,” kata Ketua Pemuda PKR Selangor, Najwan Halimi.
“Isu melibatkan ekonomi juga, misalnya, peniaga-peniaga kecil adalah di kalangan Melayu. Mereka rasa terbeban. Isu rakyat ini perlu diutamakan,” katanya. – 29 Januari, 2019.
Komen