Kronisme, nepotisme sedang meresap dalam PH, kata aktivis


Nabihah Hamid

DENGAN lebih 10 orang yang ada kaitan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dilantik mengetuai agensi dan syarikat kerajaan, aktivis berkata kerajaan baharu ini mula jadi tidak ubah seperti Barisan Nasional (BN) yang dikritiknya kerana melantik ahli politik dan keluarga ke jawatan semasa 61 tahun mentadbir Malaysia.

Trend melantik pemimpin PH dan ahli keluarga ke dalam agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini berlaku dalam tempoh lapan bulan selepas ia berkuasa, kata mereka.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel menggesa kerajaan telus dalam soal beberapa pelantikan yang sekarang jadi buah mulut banyak pihak.

“Kita sudah lapan bulan memerhati pemerintahan kerajaan dan trend ini dilihat tidak berapa bagus,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kita tertanya-tanya apa kelayakan mereka. Mereka perlu tunjukkan.”

“Kerajaan perlu tangani isu lantikan ini untuk elak tanggapan masyarakat, tidak ada bezanya PH dengan BN,” katanya.

Beliau berharap kerajaan dapat berlaku lebih telus bukan saja dalam soal lantikan ke jawatan agensi dan institusinya tetapi juga semua proses pembaharuan yang sedang dilakukan di peringkat kementerian.

“Mereka sepatutnya lebih telus. Rakyat tidak tahu proses perubahan yang sepatutnya berlaku,” katanya.

Baru-baru ini, dua ketua bahagian Bersatu di Johor dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Yayasan Pelajaran Johor. Dua ahli lembaga pengarah itu dirujuk di laman web yayasan dengan jawatan politik mereka, yang kemudian dipadam selepas dicemuh di media sosial.

Beberapa pelantikan ketua agensi di bawah Kementerian Pertanian juga menarik perhatian apabila menterinya Salahuddin Ayub, yang juga Timbalan Presiden Amanah, melantik pemimpin parti.

Beliau melantik Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil dilantik mengetuai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) manakala ahli jawatankuasa tertinggi parti, Mazlan Aliman mempengerusikan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Salahuddin mempertahankan merit pelantikan dan menegaskan ia tidak melanggar janji manifesto PH yang hanya menyebut tiada lantikan politik ke jawatan dalam GLC dan bukannya agensi kerajaan.

Aktivis politik Hishamuddin Rais berkata, masyarakat memandang serong pelantikan yang dibuat kerana dalam politik adalah tentang persepsi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2019

Rabu lalu, Salahuddin mengumumkan pula pelantikan Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi mempengerusikan jemaah pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas). Daripada lima ahli jemaah pengarah lantikan menteri, Salahuddin melantik tiga pemimpin Amanah dari Perlis, Kelantan dan Johor serta senator Dr Yaakob Sapari dari PKR.

Ahli politik pembangkang dan penyokong kerajaan juga mempertikaikan pelantikan dua individu yang ada kaitan dengan pemimpin PH ke jawatan dalam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Junaidah Kiting, isteri kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya, dilantik sebagai pengerusi AIM manakala Nurul Iman Dzulkefly, anak Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.

Kedua-dua mereka bagaimanapun mempertahankan merit pelantikan itu.

Awal bulan ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun juga melantik dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan peguam parti mengetuai anak syarikat kementerian dan sebuah agensi wilayah.

Menurut aktivis politik Hishamuddin Rais, masyarakat memandang serong pelantikan yang dibuat kerana dalam politik adalah tentang persepsi.

“Kerajaan bukan saja harus melakukan sesuatu yang betul tetapi hendaklah dilihat melakukannya dengan betul.

“Memang betul mereka yang dilantik ada kelulusan tetapi jangan seharusnya menimbulkan persepsi kronisme dan nepotisme,” tambahnya.

Jelas Hishamuddin, rakyat sedang memerhati segala tindak tanduk kerajaan dengan dekat, “10,000 kali dibesarkan dengan mikroskop,” katanya.

“Persepsi masyarakat kepada PH kini makin luntur.

“Rakyat sedang mempersoalkan apakah PH sama saja kelakuan dan perangai dengan BN. Ini persepsi yang sedang dimunculkan,” jelasnya.

Aktivis politik, Badaruddin Ismail yang awal bergiat sejak Reformasi 1998 berkata, lantikan politik jadi masalah sekiranya jawatan tersebut melibatkan agensi yang menguruskan kewangan.

“Kalau ahli politik dilantik ke sebuah badan yang tidak melibatkan soal profesionalisme dan tidak menguruskan untung rugi, tidak apa. Tetapi yang berkaitan duit, kita persoalkan.

“Sekarang ini kepercayaan kepada PH sudah merundum. Kalau ini berterusan, tidak mustahil rakyat akan hukum PH dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Cynthia juga berpandangan sama, PH perlu segera menangani persepsi yang tidak menguntungkannya untuk jangka masa panjang.

“Dalam masa dua tahun ini jika terus berlaku mungkin PH akan jadi macam BN,” katanya. – 28 Januari, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen