Rina Harun lantik ahli MPT Bersatu pengerusi anak syarikat kementerian


Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berkata pelantikan mereka diumumkan selepas cadangan beliau mendapat persetujuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2019.

DUA ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan peguam parti dilantik sebagai pengerusi kepada dua anak syarikat Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan sebuah agensi kementerian itu.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun berkata pelantikan mereka diumumkan selepas cadangan beliau mendapat persetujuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pengumumannya, Rina yang juga ketua sayap Wanita Bersatu menamakan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai pengerusi Mara Corporation Sdn Bhd.

Mara Corporation adalah syarikat pelaburan yang ditubuhkan pada 2016 dengan matlamat menguruskan entiti perniagaan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Rina juga mengumumkan pelantikan Dr Sukiman Sarmani sebagai pengerusi Universiti Teknikal Mara (Unitek Mara), institusi pengajian swasta milik Mara yang ditubuhkan pada 2002. Sukiman adalah juga bekas timbalan naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Akhramsyah dan Sukiman adalah ahli MPT Bersatu.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Bersatu dalam beberapa kes melibatkan parti itu dan pemimpinnya dilantik mempengerusikan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Jawatan itu sebelum ini dipangku Ketua Setiausaha Kementerian, Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Pengerusi Perda sebelum itu ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahya yang keluar Umno pada 14 Disember lalu, serentak bersama lima lagi ahli Parlimen Umno. Beliau dilantik ke jawatan itu oleh pentadbiran Barisan Nasional.

Dalam kenyataannya, Rina tidak menyatakan tarikh kuat kuasa ketiga-tiga lantikan tersebut.

Kenyataan beliau juga menyebut latar belakang ringkas pendidikan dan  ketiga-tiga yang dilantik. – 5 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen