LAGU dan video muzik memaparkan bekas perdana menteri Najib Razak dibuat atas permintaan beberapa ahli Umno yang merasakan nostalgia pentadbiran terdahulu, kata penyanyi utamanya.
“Mereka amat sentimental dengan perkara baik yang kita lakukan sebelum ini dan bagaimana mereka merasa tidak adil yang kita telah tewas pada pilihan raya umum lalu,” kata Najib kepada The Malaysian Insight ketika ditemui semasa berkempen pada pilihan raya kecil Cameron Highlands hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan siapa pemimpin Umno berkenaan namun menambah ia adalah inisiatif mereka dan terpulang kepada mereka bagaimana mereka mahu menyebarkannya.
“Saya rasa ia patutnya sudah keluar,” kata Najib.
Pihak yang rapat dengan pembikinan lagu itu memberitahu The Malaysian Insight, lagu berkenaan dirakamkan semalam di Ampang dan ia adalah sebahagian daripada kempen untuk melawan balik oleh bekas perdana menteri.
Lagu sepanjang empat setengah minit yang dinyanyikan mengikut irama lagu popular “Kiss and Say Goodbye” oleh The Manhattans menunjukkan Najib menyanyi bersama-sama dengan kumpulan remaja terdiri daripada pelbagai kaum.
Lagu itu juga pernah dirakam oleh kumpulan Black Dog Bone, kumpulan rock Melayu dengan tajuk “Hatiku Luka Lagi”.
Seperti juga “Manhattan” dan versi Melayunya, lagu tersebut bermula dengan monolog oleh Najib.
Beliau berkata 9 Mei tahun lepas adalah hari yang paling menyedihkan dalam hidupnya.
“Saya disingkir. Selama bertahun-tahun saya berjuang untuk rakyat yang saya cintai. Tetapi apa yang boleh saya lakukan apabila saya menjadi mangsa agenda Pakatan Harapan yang berdasarkan fitnah dan membalas dendam. Sekarang berdoalah kepada Tuhan untuk memberi saya kekuatan untuk memulihkan Barisan,” katanya sebelum menyanyi bersama kumpulan itu. – 23 Januari, 2019
Komen