Beri SPR kuasa untuk ambil tindakan, kata pengerusi


Noel Achariam

Pengerusi SPR Azhar Harun mengulas tentang bidang kuasa suruhanjaya itu berhubung kesalahan dalam pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Januari, 2019.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menggesa Putrajaya meminda undang-undang bagi membolehkan suruhanjaya itu memiliki kuasa untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan yang berlaku dalam pilihan raya, kata pengerusinya, Azhar Azizan Harun.

“Jika rakyat mahu SPR melaksanakan penguatkuasaan, jadi beri kami kuasa dan pinda akta dalam Parlimen bagi mengatasi berlakunya kesalahan berulang.

“Apabila kami membuat laporan, kita menyerahkan perkara itu kepada siasatan pihak berkuasa. Jika mahu lebih daripada itu, kita perlu meminda undang-undang. Ia bukan tugas saya. Ia tugas ahli Parlimen.

“Jika mereka (rakyat) undang-undang diubah, jadi minta kepada ahli Parlimen untuk mengemukakan usul agar undang-undang tersebut diluluskan,” katanya selepas mengadakan lawatan di balai polis Brinchang pada proses pengundian awal hari ini.

Dalam kenyataan media pertamanya selepas dilantik sebagai pengerusi SPR pada Oktober lalu, Azhar juga berkata badan bebas itu tidak diberi kuasa untuk menyiasat atau mendakwa mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pilihan raya.

Pakatan Harapan yang menjanjikan reformasi institusi apabila jadi kerajaan setakat ini sudah membentuk Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya, diketuai bekas pengerusi SPR Abdul Rashid Abdul Rahman.

Rashid dalam satu kenyataan November lalu berkata pihaknya sedang meneliti cadangan memberikan kuasa kepada SPR untuk mendakwa pelaku pesalah pilihan raya.

Setakat hari ini, sebanyak 21 laporan polis dibuat melibatkan pelbagai  kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

Semalam, ketua polis daerah Ashari Abu Samah berkata pihaknya menyiasat empat isu melibatkan rasuah, khemah rosak, kertas undi dibawa keluar dan insiden pergaduhan antara penyokong Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di Sungai Koyan.

Sementara itu, Azhar berkata tiada undang-undang atau peruntukan khas yang diberikan kepada SPR (untuk mengambil tindakan).

“Jika saya diberi kuasa, saya akan mengambil tindakan.

“Buat masa ini, saya hanya boleh bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

Azhar berkata beliau tidak boleh mengambil sebarang tindakan yang tidak mengikut undang-undang kerana ia merupakan satu kesalahan.

“Kita melakukan sedaya-upaya mengikut keupayaan dengan kuasa yang diberikan kepada suruhanjaya ini.

“Sebaran maklumat (salah laku) perlu disalurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

“Saya juga memberi nasihat dan amaran selain calon sudah menandatangani ikrar pilihan raya. Itu sahaja yang kita boleh lakukan.”

Dalam pada itu, Azhar menjangka 70% jumlah pengundi yang keluar pada proses pengundian awal hari ini. – 22 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen