SPR tiada kuasa di bawah undang-undang semasa, kata pengerusi


SPR tidak diberi kuasa untuk menyiasat atau membuat pendakwaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan pilihan raya, kata Pengerusinya, Azhar Azizan Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2018.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tiada kuasa untuk menghukum pesalah sekiranya menerima aduan dari orang awam mengenai kesalahan pilihan raya, kata Pengerusi baharunya, Azhar Azizan Harun.

Menerusi kenyataan yang pertama dikeluarkan sejak dilantik sebagai pengerusi, Azhar berkata SPR tidak diberi kuasa untuk menyiasat atau membuat pendakwaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan pilihan raya.

“Malah SPR juga tidak mempunyai kuasa untuk mendenda atau menyiasat mana-mana calon pilihan raya atau parti yang diwakilinya untuk apa-apa pelanggaran undang-undang pilihan raya terutamanya peruntukan perundangan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.”

Buat masa ini, penguatkuasaan terletak dibawah bidang kuasa polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sementara itu, Azhar berkata SPR telah menubuhkan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR). Bagaimanapun, bidang kuasa pasukan itu adalah terhad kepada melaporkan kesalahan yang disaksikan sendiri oleh pegawai SPR.

“Oleh yang demikian, orang ramai, NGO atau mana-mana pihak yang memantau pilihan raya dan aktiviti berkaitan pilihan raya yang mempunyai maklumat peribadi tentang apa-apa pelanggaran peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 disarankan supaya membuat laporan kepada badan penyiasatan berkenaan.”

Bersih 2.0 berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson telah melakukan kesalahan pilihan raya.

Selain PH, MCA dan PAS juga dikatakan membuat perkara sama dalma PRK Seri Setia dan PRK Balakong baru-baru ini. – 5 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen