17 laporan kesalahan pilihan raya di Cameron Highlands


Noel Achariam

Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor hari ini membuat laporan polis di Sg Koyan, mendakwa kenderaannya dihalang oleh Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 21 Januari, 2019.

SETAKAT hari ini polis Cameron Highlands menerima 17 laporan bagi pelbagai kesalahan pilihan raya sepanjang sepuluh hari kempen.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Ashari Abu Samah berkata ketika ini mereka sedang menyiasat empat laporan berkaitan pemberian wang, kertas undi yang tersebar di media sosial serta kejadian koyak bendera di Sg Koyan.

“Kami masih menyiasat kejadian di Sg Koyan. Kami juga terima satu laporan polis yang dikemukakan oleh calon Barisan Nasional (Ramli Mohd Nor). 

“Kami juga membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 5(6b) Akta Kesalahan Raya Pilihan Raya 1954 berkenaan isu kertas undi,” katanya di pusat media di Tanah Rata hari ini.

Terdahulu, Ramli membuat laporan polis di Sg Koyan, mendakwa kenderaannya dihalang oleh Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Ramli juga berkata Zulpuri mengeluarkan kata-kata kasar terhadap beliau dan pasukan kempennya.

Zulpuri hari ini berang apabila jentera Barisan Nasional mengoyakkan bendera Pakatan Harapan yang ditampal pada kenderaan milik kerajaan negeri Pahang.

Ashari berkata polis juga menyiasat dakwaan penggunaan kenderaan kerajaan negeri semasa kempen.

“Perkara itu dalam siasatan, dan kami akan maklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa. Kami sedang menunggu untuk mengambil keterangan dari saksi.” – 21 Januari, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen