BEKAS kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menuntut Kementerian Pengangkutan menunaikan janji menyelesaikan masalah tawaran kerja untuk mereka yang masih lagi belum selesai.
Seorang bekas kakitangan yang enggan dinamakan berkata sehingga kini mereka tidak menerima sebarang berita mengenai tawaran kerja selepas kerajaan membubarkan SPAD tahun lalu.
“Kita minta menteri laksana janji. Hari itu kata 15 Januari akan bagi semua tawaran tapi sampai sekarang tiada khabar berita,” kata bekas pekerja itu kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight sedang mendapatkan maklum balas kementerian mengenai status tawaran yang sepatutnya diberikan 15 Januari lalu.
Pada 4 Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya akan menyelesaikan masalah penempatan jawatan baharu sebelum 15 Januari.
Loke berkata lebih 300 bekas kakitangan telah ditawarkan kerja dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan 300 lagi surat tawaran.
Tindakan kerajaan membubarkan SPAD selepas Pilihan Raya Umum ke-14 menjejaskan lebih 900 bekas kakitangan agensi pengangkutan itu.
Dalam pada itu, seorang lagi pekerja mencadangkan agar kementerian melantik satu pihak untuk memastikan proses penawaran lebih lancar.
Ia juga bagi memudahkan bekas pekerja membuat aduan dan memberikan maklum balas.
“Kementerian ada semua maklumat kami. Mereka seharusnya lebih cekap jalankan tugas. E-mel kami tidak berbalas, telefon pun tidak berangkat. Mana lagi kami hendak tuju,” katanya yang enggan dinamakan.
Sementara itu, seorang pekerja turut mencadangkan kementerian membuka peluang pekerjaan kepada kementerian lain yang ada kekosongan.
“Saya faham banyak yang tiada kekosongan. Tapi skop kerja kami meluas contohnya yang bekerja sebagai penguatkuasa. Boleh juga kami bekerja di Kementerian Kesihatan, KPDNKK dan lain-lain yang ada penguatkuasaan. Akta saja berbeza,” katanya.
Selepas pembubaran SPAD, beberapa agensi menyerap masuk bekas pekerjanya termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR).
Beberapa kakitangan juga diserap semula ke dalam Agensi Pengangkutan Awan Darat (APAD), yang ditubuhkan menggantikan SPAD.
Menurut sumber, daripada 961 bekas pekerja sebanyak 351 orang menerima tawaran fasa pertama manakala 470 tawaran sedang dalam proses.
Dalam pada itu, 140 individu sedang dipadankan jawatan sesuai di bahagian kementerian manakala 15 menolak tawaran sementara 25 individu tidak berminat. – 21 Januari, 2019.
Komen