KEMENTERIAN Pengangkutan akan menyelesaikan masalah penempatan jawatan baharu bagi bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) minggu depan, kata menterinya Anthony Loke.
“Kami sudah membuat tawaran kepada lebih 300 bekas kakitangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan 300 surat lagi, menjadikannya kepada 700, dan akan berbaki 200 lagi yang akan diselesaikan minggu depan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lebih 900 bekas kakitangan SPAD terjejas akibat pembubaran agensi itu oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14.
Loke berkata semua kakitangan terbabit akan mendapat pekerjaan baharu dan kementeriannya komited dalam memenuhi janji itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa kira-kira 260 bekas kakitangan SPAD mohon campur tangan dan bantuan Cuepacs hari ini berhubung kelewatan menerima surat lantikan jawatan baharu.
Sebahagian daripada bekas kakitangan itu berkata mereka dimaklumkan pada September akan menerima surat pelantikan ke agensi lain di bawah kementerian itu pada 15 Disember, tetapi hingga kini tiada penempatan baharu.
Dua minggu lalu, 132 daripada 967 bekas kakitangan terbabit menghantar memorandum meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjamin penempatan jawatan baharu mereka.
“Komitmen kami ialah semua akan ditawarkan kerja, tetapi ada jawatan yang belum diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, tetapi semuanya akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini,” kata Loke.
Berhubung isu bekas kakitangan SPAD yang meminta bantuan Cuepacs, Loke berkata mereka tidak jujur dalam menyuarakan aduan kerana tidak mendedahkan kepada media bahawa mereka sudah menerima pampasan.
“Kami memenuhi komitmen kami. Jika mereka mahu mengadu kepada Cuepacs, itu hak mereka, teruskan.
“Tetapi mereka hanya bercakap tentang kami tidak tawarkan kerja, tetapi mereka tidak sebut pun mereka juga diberikan pampasan.
“Saya sudah beri jaminan, setiap kakitangan SPAD akan diberi pampasan minimum tiga bulan gaji, dengan sebahagiannya mendapat pampasan berdasarkan kepada tahun perkhidmatan,” katanya.
Loke berkata bekas kakitangan SPAD yang bercakap kepada media itu juga tidak mendedahkan kementerian mengadakan mesyuarat dengan mereka pada 30 November lalu untuk memaklumkan perkembangan situasi itu. – 4 Januari, 2019.
Komen