SEBAIK sahaja tarikh pilihan raya umum dikeluarkan, Sarawak dijangka akan mengumumkan konsensi minyak yang dilakukan selepas menyelesaikan masalah perundangan berkaitan pemilikan kawasan pesisir pantai kaya minyak di perairannya, kata seorang penganalisis politik.
Kenyataan itu dikeluarkan Profesor James Chin, pengarah di Asia Institute University of Tasmania yang bercakap mengenai syarikat minyak negeri yang baru ditubuhkan, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Sarawak mengumumkan lembaga pengarah syarikat itu Jumaat lepas.
“Baru-baru ini Sarawak tubuhkan Petros kerana mereka sedang menunggu hari Kerajaan Persekutuan mengiktiraf kawasan pesisir pantai kaya minyak itu adalah milik Sarawak dan kerana ini mereka sudah ada syarikat komersial untuk mengambil alihnya serta merta.
“Tetapi sebab mengapa semua ini masih belum diumumkan adalah kerana pilihan raya masih belum diumumkan. Sebaik sahaja pilihan raya diumumkan, semua konsensi akan dimaklumkan kepada rakyat,” katanya.
Chin bercakap di seminar “The Malaysian Federation: Views from East Malaysia”, yang dianjurkan Jefferey Cheah Institute on Southeast Asia di Sunway University petang semalam.
Menyentuh mengenai lawatan Sarawak ke London bagi mendapatkan dokumen berkaitan Perjanjian Malaysia 1963, Chin berkata ia tidak memperolehi banyak hasil selain daripada penjelasan mengenai pemilikan kawasan pesisir pantai kaya minyak itu.
“Penting untuk diingati yang satu-satunya dokumen perundangan yang sah adalah Akta Malaysia. Apa yang mereka cari di London adalah kertas latar belakang. Mereka cuba untuk memahami proses bagaimana semua laporan itu dirangka. Siapa cakap apa dan perkara sebegitu.
“Tetapi kertas latarbelakang tiada kuasa perundangan…apa yang penting adalah perjanjian yang ditandatangani. Mereka cari kertas latar belakang itu dan apa yang mereka temui adalah; ya, wujud keputusan yang dilakukan kerajaan British yang mengatakan kawasan pesisir pantai negeri adalah milik Sarawak dan Sabah,” kata Chin.
Tahun lepas, Sabah dan Sarawak masing-masing menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi menilai kembali soal autoriti. Di peringkat Persekutuan, jawatankuasa sama diwujudkan diketuai Menteri Luar Hanifah Aman.
“Jadi (jawatankuasa teknikal) sebenarnya permulaan yang baik. Tetapi mereka masih belum mengadakan pendengaran awam dan saya rasakan sesi itu penting untuk mendapatkan pandangan rakyat,” kata Chin.
Beliau menambah yang ada tiga kumpulan di Malaysia Timur berkaitan dengan isu autonomi.

“Kumpulan pertama mudah difahami. Mereka bergiat aktif di Facebook. Dikenali sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia. Kami dah bosan, tiada apa yang berlaku. Tidak perlu berunding lagi. Bye-bye.
“Kumpulan kedua berlainan pula, yang merasakan apa yang berlaku tidaklah terlalu teruk. Ia hanyalah soal menekan Persekutuan untuk dapat manfaat yang lebih baik.
“Dan yang ketiga adalah kumpulan atas pagar, yang bergantung kepada isu akan memihak pihak tertentu. Tetapi ada juga kelas politik yang unik di Sabah dan Sarawak. Elit perlu ada. Mereka tak berubah sejak merdeka. Mereka juga perlu capai konsensus.
Chin berkata yang kelas politik perlu kembali kepada perkara 20 dan 18 perjanjian yang dihantar Suruhanjaya Cobbold untuk bergerak ke depan.
Beliau turut menambah yang Malaysia Timur tidak wajar mengharapkan pindaan perlembagaan.
“Kerajaan Persekutuan, atau Umno, tidak bersedia untuk mengubah Perlembagaan. Apabila mereka bercakap soal pemindahan kuasa, mereka sebenarnya bercakap kuasa pentadbiran diberikan kepada Kuching dan Kota Kinabalu untuk buat keputusan. Misalnya soal pemilihan guru.
“Kerajaan Persekutuan bersedia membincangkan apa sahaja kecuali penarikan diri. Mereka tidak kisah beri balik sebahagian kuasa. Kerana Umno tidak berada di Sarawak dan di Sabah, Umno hanya pada nama. Mereka perlukan ahli Parlimen dari kedua-dua negeri untuk terus berkuasa. Jadi mereka sedia berunding. Ia tak beri banyak masalah kepada mereka dalam soal peraturan dan isu pentadbiran dalaman untuk beri balik kuasa kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Chin berkata soal autonomi sangat sensitif untuk Malaysia Timur.
“Tetapi kita tak boleh benarkan sejarah sekat kita. Walaupun kita perlu belajar untuk faham tentang proses MSCC ( Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia), proses Suruhanjaya Cobbold, proses laporan IGC (Jawatankuasa Antara Kerajaan), ia sepatutnya digunakan sebagai titik permulaan (untuk memahami) sejarah. Tetapi ia tidak sepatutnya menjadi faktor utama untuk berunding.
“Apa yang akan Sabah dan Sarawak dapat banyak bergantung kepada konsensus politik di negeri masing-masing dan sekiranya mereka berjaya sampai kepada perjanjian bersama seperti yang dilakukan Sarawak sekarang. Perjanjian bersama yang mereka perlu bersatu mengatakan pendirian. Mereka akan dapat perjanjian yang lebih berfaedah dari Putrajaya,” kata Chin lagi.
Chin berkata usaha Malaysia Timur mendapatkan autonomi mempunyai batasan masa.
“Saya mahu katakan yang peluang untuk Sabah dan Sarawak berbuat sesuatu tentang situasi Persekutuan, seperti yang mereka juga faham, hanya terhad kepada kitaran lima tahun.
“Dengan kata lain, dalam pilihan raya umum akan datang, sekiranya prestasi Umno baik di sini (Semenanjung) mereka tak lagi perlukan Sabah dan Sarawak untuk kekal berkuasa, jadi usaha itu akan terbantut. Jadi peluang sangat terbatas,” katanya.
Chin menambah yang Barisan Nasional akan menang “minimum 31 atau 32 kerusi” daripada jumlah keseluruhan 57 kerusi di Malaysia Timur termasuklah Labuan.
“Jika ia kurang daripada itu, tolong SMS saya secepat mungkin,” katanya. – 29 Ogos, 2017.
Komen