Bekas ketua setiausaha negeri Sarawak dilantik pengerusi Petros  


Bekas Setiausaha Kerajaan negeri Hamid Bugo dilantik sebagai Pengerusi Petroleum Sarawak (Petros) yang baharu ditubuhkan. Pelantikan itu diumumkan oleh Pejabat Ketua Menteri (CMO) di sini hari ini.

Ahli lembaga pengarah lain terdiri daripada Mohammad Medan Abdullah, Sharbini Suhaili, lr. Zuraimi Sabki dan Heng Hock Cheng, kata CMO dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Ketua Menteri Abang Johari Abang Openg menyuarakan keyakinan beliau terhadap ahli lembaga Petros kerana ia terdiri daripada para profesional industri yang berpengalaman dan memiliki rekod prestasi yang sangat kukuh dan terbukti semasa berkhidmat dalam jawatan penting dalam industri minyak dan gas.

Kenyataan itu berkata pelantikan ahli lembaga yang berwibawa bertujuan memastikan Petros akan memajukan arah tuju strategik yang betul, serta beroperasi menggunakan model perniagaan yang baik, dalam mencapai matlamat yang dihasratkan.

Hamid, 72, pernah berkhidmat dengan Malaysia LNG Sdn Bhd selama beberapa tahun di Bintulu.

Petros ditubuhkan dengan matlamat utama membolehkan Sarawak mengambil bahagian dalam pembangunan minyak dan gas huluan, terutama dalam penerokaan dan pengekstrakan minyak dan gas di perairan negara.

Penubuhan ini juga selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk penduduk tempatan, selain menarik bakat dan kepakaran rakyat negeri itu yang kini berkhidmat di luar.

“Pada masa yang sama, Petros juga boleh menjadi platform yang baik untuk mengasah lebih banyak usahawan untuk menyokong pertumbuhan dan inovasi industri bernilai tambah tinggi di negeri ini.

“Petros kini mengenal pasti tokoh untuk dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya serta jawatan pengurusan utama lain untuk membolehkannya beroperasi pada suku pertama, 2018,” kata kenyataan itu. – Bernama, 25 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen