MANTAN Perdana Menteri Najib Razak enggan melayan kerenah Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang ingin menamparnya susulan tindakan pentadbirannya dahulu memberi imbuhan kepada peneroka Felda yang didakwa chef itu sebagai rasuah.
Najib berkata pemberian imbuhan tersebut diberikan kepada semua peneroka tanpa mengira perbezaan politik dan bukannya rasuah seperti yang dituduh.
“Kita tolong semua… kalau dalam Felda, kita bukan beza siapa penyokong Umno ke PAS ke PH ke… semua dapat yang sama… tak ada beza.
“Kalau tak ada beza, bukan rasuah. Itu Chef Wan… buat apa nak layan Chef Wan,” kata Najib.
Chef Wan ketika berkempen untuk Pakatan Harapan (PH) di Felda Sungai Koyan 1 di Jelai hari ini berkata hendak menampar Najib kerana menyifatkan imbuhan yang diberikan oleh ahli Parlimen Pekan itu kepada peneroka yang sebelum ini adalah rasuah.
Mengulas lanjut perkara itu, Najib menegaskan bantuan yang diberikan pentadbirannya adalah untuk mengurangkan keperitan hidup peneroka Felda yang bergantung pendapatan pada harga sawit di pasaran.
“Kita tak bagi rasuah, kita tolong masyarakat Felda sebab mereka dalam keperitan hidup.
“Sekarang ini pendapatan mereka begitu rendah sekali. Ada yang mendapat RM74 bulan lepas sahaja di Sungai Koyan. Ada yang lebih rendah daripada itu,” ujarnya.
Najib pada Jumaat lalu meluangkan masa selama dua hari berkempen di Sungai Koyan sempena pilihan raya kecil Cameron Highlands. – 20 Januari, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Siti Fatimah · Ulasan