Saya lebih mampu tolong petani, kata Manogaran


Bede Hong

Calon Pakatan Harapan M Manogaran berkata hakikatnya kerajaan adalah PH, memilihnya akan memudahkan penduduk kawasan itu dapat kemajuan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 Januari, 2019.

CALON Pakatan Harapan M Manogaran berkata beliau akan membawa lebih banyak pembangunan kepada Cameron Highlands selaku wakil rakyat parti pemerintah, berbanding calon Bebas yang mencabarnya, petani Wong Siew Eng.

Berkelulusan sarjana sains pertanian dari University of Nebraska-Lincoln Amerika Syarikat, Wong sering dilihat berkempen dengan membawa cangkul, menggunakan hubungan keluarganya dengan komuniti petani di Tanah Rata, terutama sekali di Brinchang, hubungan yang menyebabkan beliau dianggap pencabar dominasi calon PH dan Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor.

“Saya hormati semua calon, tetapi saya rasa mereka yang Bebas tiada kelebihan. Hakikatnya Pakatan Harapan adalah kerajaan pemerintah dan kita (PH) semua akan bantu apa yang kita boleh bantu untuk tolong petani dan kumpulan masyarakat lain di Cameron Highlands,” kata Manogaran kepada The Malaysian Insight.

Antara isu hangat pilihan raya adalah geran tanah, yang kata Manogaran adalah kepakarannya.

“Walaupun saya bukan petani, tetapi saya bekerja di sini. Saya jumpa petani dan saya tangani masalah yang dihadapi petani. Walaupun dia adalah petani di sini, bukan bermaksud saya tak boleh tolong. Saya sudah jadi peguam tolong orang di sini dan saya biasa dengan isu tanah. Saya percaya saya berada di kedudukan lebih baik untuk bantu orang sini selaku peguam.

“Sebagai peguam saya boleh lawan lebih baik. Saya minta rakyat nilai aspek ini. Saya sudah buat kes menentang pihak berkuasa, kes lawan TNB, lawan penindasan di Lembah Bertama, saya boleh buat perkara sama untuk orang lain juga termasuklah petani.”

“Kami dalam kerajaan, kami dalam kedudukan terbaik untuk tolong.”

Manogaran mengakui antara isu kebimbangan pengundi terutama di Tanah Rata termasuklah tanah, kekurangan perumahan mampu milik, kesesakan lalu lintas dan isu tempat letak kereta.

“Di Jelai, anda ada masalah perumahan generasi kedua. Ada orang yang tak ada kerja kerana tidak ada industri di sini. Kanak-kanak terpaksa berjalan kaki ke sekolah kerana tidak ada pengangkutan,” katanya.

Selain itu, menurutnya, antara isu lain yang jadi tumpuannya adalah kebajikan pesara tentera dan peneroka Felda, pembalakan haram dan pencemaran sungai yang menyukarkan kehidupan Orang Asli.

Selain Manogaran mewakili PH, Ramli daripada BN dan Wong, seorang lagi calon Bebas ialah bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki, Sallehudi Ab Talib, 61, bertanding dalam PRK empat penjuru itu.

Tarikh pembuangan undi dijadualkan pada 26 Januari ini. – 20 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • WONG TELAH MEMBUKTIKAN KEMAMPUANNYA. SUMBANGAN IDEA DAN TEKNIK PERTANIAN ADALAH ASAS PENTING UNTUK MEMAJUKAN SEKTOR PERTANIAN (TIADA JAMINAN PAKATAN MENANG BOLEH BANTU ) DIHARAP JIKA WONG MENANG KERAJAAN PAKATAN JANGAN MENCIPTA HELAH MENGHALANG IDEA DAN INOVASI DARIPADA WONG UNTUK MEMAJUKAN PERTANIAN. BERBANGGALAH BANGSA MALAYSIA YANG BERKELULUSAN LUAR NEGARA MENCEBURKAN DIRI DALAM PERTANIAN TANPA MENGHARAP SUBSIDI ATAU BANTUAN KERAJAAN. JIKA ADA SEJUTA ORANG SEPERTI WONG MAKA MALAYSIA BOLEH BERSAING DENGAN TAIWAN .

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan