SESB patut jadi tanggungjawab Sabah, kata Shafie


Jason Santos

SESB perlu jadi tanggungjawab Sabah bagi memacu proses perindustrian negeri itu, kata Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hari ini selepas menghadiri majlis tarian singa di Likas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 19 Januari, 2019.

SABAH Electricity Sdn Bhd (SESB) yang berdepan masalah kewangan patut jadi tanggungjawab kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Shafie berkata pasukan khas akan dibentuk untuk menyelia dan berunding peralihan pemilihan yang lancar dan pantas daripada kerajaan persekutuan kepada negeri.

“Saya sedar ada beberapa masalah seperti perancangan masa depan, hutang dan aliran tunai.

“Saya difahamkan yang SESB ada buat beberapa pinjaman. Apa pun, kami akan pastikan keseluruhan proses akan lancar dan pantas,” katanya kepada wartawan di Kota Kinabalu hari ini.

Shafie hadir majlis persembahan tarian singa di Likas anjuran Persatuan Cina Kota Kinabalu.

Menyentuh mengenai hutang SESB, Shafie berkata perunding sudah dilantik untuk meneliti kedudukan kewangan syarikat itu.

Beliau juga mendedahkan akan berbincang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng tentang proses pengambilan terbaik yang boleh dilakukan.

Shafie menjelaskan yang jana kuasa adalah komponen utama untuk memacu perindustrian Sabah kerana ia boleh menarik pelabur ke negeri itu.

Katanya lagi, ini seterusnya memboleh kerajaan negeri mempunyai lebih kuasa untuk membantu rakyat pendalaman Sabah yang masih bergantung kepada penjana untuk mendapatkan bekalan elektrik.

“Daripada situ, kita juga akan mampu mempertimbangkan semua pilihan yang ada seperti meningkatkan penggunaan bio diesel berbanding diesel dan petrol sahaja,” katanya merujuk kepada jumlah ladang kelapa sawit yang banyak di Sabah.

Laporan media sebelum ini menyebut SESB dinilai sebanyak RM 8 bilion. – 19 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tahniah CM Sabah, sudah sampai masanya SESB dikembalikan kepada Kerajaan Sabah. Sebenarnya SESB boleh menyumbang pendapatan yang lumayan kepada Kerajaan Negeri jika diurus dengan IKHLAS DAN JUJUR. Diharapkan WARISAN dapat lahirkan pemimpin yang BERWIBAWA , JUJUR DAN IKHLAS. Jangan simpan dan lindungi pemimpin WARISAN tamak haloba, kaki manipulasi dan eksploitasi. Segerakan tindakan undang undang dengan hukuman maksima kepada pemimpin yang amalkan "rasuah terancang".

    Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan