INKUES menentukan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim akan mula didengar pada 11 Februari ini, selama 30 hari sehingga 11 April.
Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas sebutan kes di mahkamah koroner di Shah Alam untuk pengurusan kes pagi ini.
Katanya, inkues itu ditetapkan bagi pendengaran antara 11 hingga 28 Februari dan seterusnya pada Mac sebelum dijadualkan berakhir pada 11 April.
Pada 27 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan kematian Adib akan ditentukan puncanya melalui inkues.
Katanya, inkues itu diarahkan oleh Peguam Negara selepas ada “dapatan tertentu” mengenai sebab kematian Adib, hasil rakaman percakapan saksi, lakonan semula kejadian dan bedah siasat forensik patologi.
Adib, 24, anggota unit bantuan perkhidmatan kecemasan Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden malam kedua rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada awal pagi 28 November lepas.
Beliau yang kritikal sempat sedar semula sepanjang tempoh tiga minggu dirawat di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada 17 Disember lalu, lima hari sebelum dijadual melangsungkan perkahwinan.
Di bawah undang-undang, inkues bukan satu perbicaraan jenayah dan tidak mempunyai tertuduh untuk didakwa atau dibela. Ia sebaliknya melibat “pihak berkepentingan” seperti wakil si mati, wakil pihak berkuasa atau agensi kerajaan dan mana-mana pihak yang difikirkan munasabah dan sesuai oleh mahkamah.
Majistret yang mengendalikan inkues akan dibantu seorang pegawai pendakwa untuk menyoal saksi.
Pendengaran inkues juga tidak tertakluk kepada tatacara dan peraturan undang-undang keterangan seperti yang terpakai dalam perbicaraan kes jenayah. – 18 Januari, 2019.
MENYUSUL
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh FAIZ SUHAIMI · Ulasan