Inkues bongkar kebenaran sebalik kematian Adib bermula hari ini


Bede Hong

Ada dua teori yang dibahaskan tentang apa yang berlaku sehingga menyebabkan kematian tragik pegawai bomba Muhammmad Adib Mohd Kassim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2019.

ADA dua teori yang dibahaskan tentang apa yang berlaku sehingga menyebabkan kematian tragik anggota bomba Muhammmad Adib Mohd Kassim.

Satu ialah beliau ditarik keluar dari kenderaan penyelamat dan diserang oleh perusuh ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield di Subang Jaya, Selangor pada November.

Teori satu lagi ialah Adib, 24, secara tidak sengaja dilanggar oleh sebuah trak bomba yang sedang mengundur ketika cuba melepaskan diri selepas perusuh membaling batu ke arah kenderaan itu dan cuba membakarnya.

Siasatan polis hanya dapat menunjukkan penjahat di sebalik kematian Adib sementara laporan bedah siasat hanya menyatakan bahawa kematiannya kerana kecederaan yang dialaminya.

Bagaimana kecederaan itu berlaku kini akan menjadi fokus utama dalam inkues yang akan bermula di mahkamah di Shah Alam hari ini.

Inkues ialah siasatan awam rasmi yang dikendalikan oleh koroner untuk mengenal pasti kematian seseorang dalam kes di mana puncanya tidak diketahui, ganas atau tidak semula jadi. Koroner kemudian akan menentukan punca kematian, tetapi mungkin tidak perlu menentukan kenapa kematian itu berlaku.

Inkues itu akan melihat pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri atau keluarga Adib terbabit, menerusi representasi undang-undang ketika prosiding.

Lapan anggota bomba dijangka memberi keterangan, bersama dua komander dari balai bomba Subang Jaya di mana Adib bertugas.

Adib berasal dari Kedah satu-satunya mangsa yang meninggal dunia ketika rusuhan itu yang tercetus apabila sekumpulan penceroboh bersenjata merempuh kuil itu pada awal pagi 26 November.

Adib ialah salah seorang daripada sembilan anggota dari unit Perkhidmatan perubatan kecemasan Subang Jaya yang diarahkan ke tempat kejadian pada petang itu selepas perusuh membakar beberapa kenderaan.

Saksi kemudian menemui Adib pengsan di tepi jalan dan membawanya ke Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby.

Kesihatan pegawai bomba Muhammmad Adib Mohd Kassim semakin merosot dan kemudian meninggal dunia pada 17 Disember, tiga minggu selepas dimasukkan ke hospital. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2019.

Dilaporkan Adib ditarik keluar dari van penyelamat yang dinaikinya dan diserang oleh perusuh. Bagaimanapun pasukan petugas kuil kemudian mendakwa saksi nampak Adib dilanggar oleh trak bomba yang sedang mengundur.

Turutan peristiwa itu kemudian dibantah oleh Jabatan Bomba. Anggota bomba Mohd Hazim Rahimi juga mendakwa beliau yang dilanggar oleh trak bomba, yang disalah sangka sebagai Adib.

Terus tidak sedarkan diri dan tiada tanda untuk pulih, fungsi paru-paru Adib semakin merosot dan kemudian meninggal dunia pada 17 Disember, tiga minggu selepas dimasukkan ke hospital.

Setakat ini tidak ada individu yang didakwa atas kematian Adib walaupun empat suspek ditahan reman pada peringkat awal siasatan dan kemudian dilepaskan dengan ikat jamin.

Polis menahan hampir 100 individu dalam siasatan terhadap rusuhan yang menyebabkan 20 kenderaan dibakar.

Pemangku presiden Umno Mohamad Hassan dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia menyuarakan bantahan terhadap inkues itu, berkata ia melengahkan keadilan dan polis sepatutnya segera menahan mereka yang disyaki menyebabkan kematian Adib.

Kumpulan hak Melayu Gerakan Pembela Ummah (Umaah) juga berkata ia akan mengadakan demonstrasi jalanan, bersaing dengan himpunan anti ICERD baru-baru ini.

“Adib menjadi simbol. Apa yang kita mahu ialah keadilan untuk sama,” kata pengerusinya Aminuddin Yahya.

“Dalam kes ini, seorang penjawat awam dihantar melakukan tugasnya tetapi akhirnya diserang ganas oleh penjenayah. Itu sebabnya kami mahu tindakan dikenakan terhadap mereka (penyerang),” katanya.

Mahkamah koroner yang bersidang hari ini dijadual menetapkan tarikh pendengaran inkues.

Pada 27 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan inkues bagi menentukan kematian Adib, atas arahan peguam negara. – 18 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen