MASIH terlalu awal untuk mengatakan penganut Kristian kurang didiskriminasi di Malaysia walaupun hasil tinjauan baru-baru ini menunjukkan sebaliknya, kata Pengerusi National Evangelical Christian Fellowship, Eu Hong Seng.
Hasil tinjauan itu menyatakan Malaysia dianggap antara tiga negara dunia yang menunjukkan “petanda harapan” bagi penganut Kristian pada 2019.
Dalam World Watch List 2019 yang dikeluarkan semalam oleh sebuah organisasi Belanda, Open Doors, Malaysia berada pada tangga 42 daripada 50 buah senarai negara paling sukar menjadi penganut Kristian.
Eu ketika dihubungi bagaimanapun berkata hasil tinjauan itu mungkin sekadar persepsi.
“Pada zahirnya, penganut Kristian di Malaysia nampak bebas mengamalkan agama, tertakluk kepada peraturan tertentu dan sensitiviti agama,” katanya.
“Bagaimanapun, terlalu awal untuk katakan yang keadaan sudah semakin baik kerana itu hanya persepsi. Ini kerana permusuhan dan rasa curiga pemimpin agama dan akar umbi terhadap gereja tidak banyak yang berubah.
“Ini terbukti dengan insiden “lampu salib” di Pulau Pinang baru-baru ini yang sebenarnya bukanlah salib tetapi lampu di bangunan yang bentuknya seperti salib. Termasuk juga kes-kes kehilangan pastor yang masih belum selesai.”
Walaupun berada di kedudukan yang bertambah baik, Malaysia berada pada kedudukan 23 tahun lepas masih dalam senarai tahap diskriminasi “tinggi” terhadap penganut Kristian.
Dalam laporan dikeluarkan bersama-sama tinjauan semalam, Open Doors menegaskan walaupun “keamanan dan kestabilan” untuk masyarakat beragama dialu-alukan, kehilangan Pastor Raymond Koh menjejaskan kedudukan Malaysia.
Koh bersama-sama Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth dan aktivis Islam Amri Che Mat dipercayai jadi mangsa “kehilangan paksa” dilakukan pihak berkuasa.
Menurut bancian terbaru pada 2010, penganut Kristian Malaysia membentuk 9.2% daripada jumlah penduduk, agama minoriti kedua terbesar selepas Buddha.
Asia juga menjadi “tempat penindasan terbaru untuk Kristian”, dengan China naik daripada tangga 43 ke 27 dan India masuk senarai 10 negara teratas untuk kali pertama dalam sejarah senarai itu dikeluarkan.
“Angka ini menunjukkan penindasan di Asia meningkat mendadak sejak lima tahun lepas dengan satu daripada tiga penganut Kristian Asia menderita tahap penindasan tinggi,” menurut bancian itu.
Antara negara paling teruk menindas penganut Kristian ialah Korea Utara, Afghanistan, Somalia, Libya dan Pakistan. – 17 Januari, 2019.
Komen